Projek lebuh raya Pan Borneo, pembuangan sampah sembarangan antara faktor banjir kilat di Sabah, kata Bung
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin mengakui projek Lebuhraya Pan Borneo yang kini sedang berjalan adalah antara punca banjir di beberapa kawasan di negeri ini.Bagaimanapun katanya, banyak faktor lain turut menyumbang kepada bencana alam itu yang dilihat berpunca daripada sistem perparitan yang tidak berfungsi dengan baik.
“Saya tidak menafikan faktor Pan Borneo juga penyumbang tetapi banyak faktor lain yang menyumbang ke arah parit kita tersumbat.
“Pertama mungkin juga (faktor) pembinaan jalan tetapi yang kedua adalah kesedaran kerana masyarakat kita ini nampak sahaja parit dia buang sampah, semua parit kita penuh dengan botol-botol sampah.
“Faktor ketiga pula ialah pembangunan di Kota Kinabalu semakin meningkat, pembangunan masyarakat juga meningkat tetapi utiliti di bawah tidak dirancang dengan baik, apabila hujan tiga hingga empat jam berlaku banjir,” katanya ketika menjawab soalan ADUN Tanjung Aru daripada Warisan, Junz Wong.
Bung yang juga ADUN Lamag berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Khas pada 24 September untuk mengenal pasti, sekali gus menyelesaikan masalah itu.
“Apabila berlaku banjir, risiko yang kita terima ialah rumah dimasuki air, rumah yang sebelum ini tidak pernah dimasuki air pun kena, air tidak dapat disalurkan, elektrik tiada, kereta banyak musnah, malah berlaku kehilangan nyawa.
“Sebab itu, 24 hari bulan ini saya akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Khas, saya mahu tahu apa sebenarnya faktor yang berlaku jadi kita atasi secara total, kalau hujan pun mungkin satu tahun tidak akan banjir,” katanya. – FMT
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment