Edar syabu: Bekas guru terlepas hukuman mati

GAMBAR fail Suhailah (kiri) dengan peguamnya, Rakhbir.

klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



KOTA KINABALU: Seorang bekas guru sekolah swasta berumur 48 tahun terlepas tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan mengetepikan sabitannya untuk tuduhan mengedar 959.5 gram syabu di sini lapan tahun lalu, dan sebaliknya menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana pemilikan dadah.

Panel 3 hakim yang diketuai oleh presiden Mahkamah Rayuan Hakim Tan Sri Rohana Yusuf, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Suhailah Abdullah selepas menggantikan tuduhan kepada tuduhan lebih ringan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Rohana memerintah supaya Suhailah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh tangkapnya pada 27 Mei 2013.

2 lagi hakim ialah Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Sri Hasnah Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Picture
Pada tahun 2017 - SUHAILA Abdullah, 48, yang juga bekas guru sekolah swasta, diiringi peguamnya Datuk Seri Rakhbir Singh keluar daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu selepas dijatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 959.5 gram pada tahun 2013, di Kota Kinabalu. - Foto Edmund Samunting

Menurut peguam Suhailah, Dato Seri Rakhbir Singh, Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan itu, yang mendengar rayuan tersebut melalui Zoom pada Rabu, membenarkan rayuan Suhailah terhadap sabitannya dan hukuman mati untuk tuduhan mengedar dadah serta mengetepikan sabitannya untuk tuduhan mengedar dadah oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Rakhbir berkata panel hakim kemudian meringankan tuduhannya kepada pemilikan di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Suhailah dari tarikh tangkapnya. Panel hakim dan pendakwaan berada di Putrajaya, Rakhbir di Kota Kinabalu sementara Suhailah berada di Penjara Kajang.

Terdahulu, antara hujah yang dibangkitkan oleh Rakhbir dalam penghujahannya adalah Suhailah diperdaya untuk mempercayai bahawa 2 warga Nigeria di New Delhi menyerahkan beg bagasi kepadanya yang hanya mengandungi pakaian baharu, untuk diserahkan kepada rakan senegara mereka di Malaysia, kerana mereka mengusahakan perniagaan pakaian.

“Percaya dan selepas memeriksa beg itu, helai demi helai, Suhailah mengambil keputusan untuk membantu mereka membawa beg bagasi tersebut.

“Bagaimanapun, tanpa pengetahuannya, dadah tersebut disembunyikan antara lapisan beg itu,” kata Rakhbir.


Pendakwaan berhujah bahawa hakim perbicaraan telah mempertimbangkan semua bukti dan ini disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 6 Ogos 2018.

Picture
Air mata duka

Suhailah, yang menangis selepas mendengar keputusan itu, mengucapkan terima kasih kepada panel Hakim-Hakim Persekutuan itu kerana memberi harapan hidup baharu kepadanya dan juga berterima kasih kepada peguamnya yang berusaha sedaya upaya dalam kesnya selama 8 tahun.

Dia pada 23 Jun 2017 dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas dia didapati bersalah melakukan kesalahan tersebut pada pukul 11.15 pagi 27 Mei 2013 di Balai Ketibaan Antarabangsa, Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini.

Kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Rayuan Suhailah ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu ditolak pada 6 Ogos 2018.

Suhailah sebelum ini, pada 13 Mac 2015, dipenjara 14 tahun kerana memiliki dadah oleh Mahkamah Tinggi, yang meminda tuduhan asal iaitu mengedar kepada tuduhan lebih ringan iaitu pemilikan pada penghujung kes pendakwaan dalam perbicaraan tuduhan asal.


Bagaimanapun, dia diperintah oleh Mahkamah Rayuan pada 28 November 2016 untuk membela diri terhadap tuduhan asal susulan rayuan pendakwaan terhadap pengurangan tuduhannya.

Sementara itu, menurut Rakhbir, Suhailah sepatutnya sudah keluar dari penjara ketika ini.- Daily/Harian Ekspress

***Jangan lupa langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

Previous Post Next Post