Penerima vaksin PTI tidak akan diberi kad pengenalan: Hajiji
KOTA KINABALU (23 Sept): Kerajaan negeri tidak bercadang untuk memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sabah yang melibatkan pendatang tanpa izin (PTI).Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan perkara itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) mengenai cadangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung pertimbangan untuk memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memelihara hak keselamatan dan kepentingan rakyat di negeri ini.
Sehubungan itu katanya, penerima vaksin dalam kalangan PTI tidak akan diberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan.
"Bagaimanapun, kerajaan negeri akan mempertimbangkan perkara itu untuk orang asal yang masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri," katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said semasa sidang Dewan Rakyat dipetik berkata, KDN akan mempertimbang untuk memberikan kad pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin di Sarawak dan Sabah, termasuk dalam kalangan orang asal, yang masih belum memiliki identiti diri, jika memenuhi kelayakan.
Sementara itu, Ewon dalam kenyataannya menggesa supaya kerajaan negeri lebih tegas dan telus mengenai data-data melibatkan PTI yang diberikan vaksin di Sabah.
Menurutnya, rakyat Sabah menyuarakan kebimbangan, kemarahan dan kekeliruan berikutan jawapan lisan Timbalan Menteri Dalam Negeri di Parlimen baru-baru ini mengenai cadangan berkenaan.
Ewon berkata, program vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sabah melibatkan penduduk bukan warganegara.
"Saya menghargai jawapan lisan Ketua Menteri mengenai perkara ini dan mahu kerajaan bertegas dan harus lebih telus. Kita sudah 58 tahun menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia tetapi seolah-seolah masih wujud ribuan penduduk asal yang belum ada dokumen atau kad pengenalan?
"Apa yang dibuat selama ini untuk memastikan orang asal mendapat dokumen dan kad pengenalan? Saya khuatir ini akan membuka ruang kepada manipulasi dan salah guna dalam proses pemberian kad pengenalan berkenaan," katanya.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment