Pendatang Asing Hadir Terima Vaksin Di Sabah Tidak Akan Ditangkap

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Tiada bayaran dikenakan atau tangkapan dilakukan terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) yang hadir menerima vaksin Covid-19 di mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau melalui aktiviti jangkauan luar di seluruh Sabah.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Rose Nani Mudin berkata, vaksin diberikan secara percuma kepada semua penduduk di negeri ini, sama ada warga tempatan atau bukan warganegara.


Katanya, penduduk tanpa dokumen juga diminta untuk mendapatkan vaksinasi dengan segera tanpa perlu bimbang dikenakan bayaran atau ditahan pihak berkuasa.

“Terdapat mesej di media sosial yang tidak benar dan tular mengatakan pemberian vaksin dikenakan bayaran.

“Selain itu terdapat juga pihak yang menakutkan penduduk bukan warga negara dengan mengatakan mereka ditahan pihak berkuasa ketika mengambil vaksin, perkara ini adalah tidak benar.


“Tujuan utama pemberian vaksin kepada semua adalah bagi memastikan semua penduduk yang tinggal di Sabah selamat daripada jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata bagi mencapai imuniti kelompok di Sabah, seramai 1,023,782 penduduk lagi perlu divaksinasi.

Katanya, penduduk yang belum divaksinasi boleh pergi ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat atau datang ke aktiviti jangkauan luar di kawasan mereka bagi mendapatkan vaksin.


Sementara itu, Dr Rose Nani berkata, dua daerah di Sabah setakat ini mencatat lebih 100 peratus penduduk sudah mendapat satu dos vaksin Covid-19, iaitu Beaufort dengan pencapaian 100.25 peratus dan Putatan dengan 100.06 peratus.

Katanya, tiga daerah lagi mencatat lebih 80 peratus penduduk sudah mendapat satu dos vaksin setakat semalam, iaitu Sipitang (81.54 peratus), Kota Kinabalu (86.7 peratus) dan Kuala Penyu (93.96 peratus).

“Lima daerah lagi mencatat lebih 70 peratus penduduk menerima satu dos vaksin iaitu Kota Marudu (73 peratus), Beluran (73.87 peratus), Pitas (76.11 peratus), Penampang (76.17 peratus) dan Tuaran (78.69 peratus),” katanya.

Berdasarkan statistik yang dikongsi beliau, daerah Kinabatangan mencatat peratusan terendah dengan hanya 36.95 peratus sudah menerima satu dos vaksin setakat semalam.


Ia diikuti daerah Tongod (43.19 peratus), Semporna (47.95 peratus), Nabawan (49.17 peratus), Tawau (50.67 peratus), Sandakan (53.39 peratus), Kunak (53.85 peratus) dan Papar (58.36 peratus).

Selebihnya, Keningau (65.02 peratus), Lahad Datu (65.31 peratus), Tambunan (65.52 peratus), Kota Belud (65.52 peratus), Ranau (68.67 peratus), Kudat (68.78 peratus) dan Tenom (69.91 peratus).

Dr Rose Nani berkata, secara keseluruhan sebanyak 63.7 peratus populasi dewasa di Sabah sudah menerima satu dos vaksin, manakala 47 peratus lengkap dua dos vaksin, setakat semalam. – HMetro

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.


Post a Comment

Previous Post Next Post