Buaya sepanjang 5 meter yang berjaya ditangkap diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut.
PAPAR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah terpaksa mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap seekor buaya sepanjang kira-kira 5 meter di Kampung Nagapas, di sini kelmarin.Jurucakap APM dalam satu kenyataan di sini semalam berkata operasi kira-kira jam 7 malam itu turut dibantu penduduk kampung serta Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Kejadian itu kemudiannya tular di media sosial sebelum penduduk kampung bertindak menghubungi pasukan APM untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya sebaik menerima laporan mengenai kehadiran reptilia itu, sepasukan anggota APM Papar terus bergerak ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menangkap haiwan berkenaan.
“Dengan bantuan penduduk kampung buaya seberat hampir 700 kilogram dan panjang dianggarkan hampir lima meter berkenaan berjaya ditangkap.
"Pasukan APM kemudiannya menyerahkan reptilia itu kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan lanjut," katanya.
Sementara itu seorang penduduk kampung Richard Limbang, 52, berkata, penduduk kampung pada awalnya sukar untuk mendekati buaya berkenaan atas faktor keselamatan.
“Semasa ketibaan pasukan APM, penduduk kampung turut membawa peralatan seperti tali terus membantu untuk menjerat haiwan berkenaan.
“Usaha untuk menangkap haiwan berkenaan agak sukar ekoran keadaan badannya yang besar selain amat ganas.
“Bagaimanapun, haiwan berkenaan akhirnya berjaya ditangkap selepas lebih sejam ‘bertarung’ dengan pasukan APM dan penduduk kampung,” katanya.
SOURCE: UTUSAN BORNEO
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment