PTI Didakwa Guna MyKad Orang Lain Untuk Vaksinasi

PTI Didakwa Guna MyKad Orang Lain Untuk Vaksinasi

KOTA KINABALU: Seorang warga Filipina berumur 28 tahun yang tidak mempunyai dokumen, didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, pada Jumaat atas tiga tuduhan menggunakan MyKad orang lain sebagai dokumen pengenalannya untuk mendapatkan vaksinasi serta menipu dengan menyamar sebagai orang lain untuk mendapat vaksin di samping ujian calitan Covid-19.


Tiada pengakuan diambil daripada Albin Janani, yang hadir di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie melalui persidangan video selepas tiga tuduhan dibacakan kepadanya.

Bagi tuduhan pertama, Albin dituduh menggunakan MyKad orang lain sebagai dokumen pengenalannya untuk mendapatkan vaksinasi Covid-19 pada pukul 3.26 petang 12 Ogos di pusat pemberian vaksin (PPV) KDCA di Penampang.

Kesalahan di bawah Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 itu membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Albin, seorang pelayan restoran, bagi tuduhan kedua, didakwa menipu Jason Jr Benard Jiliko bahawa dia (Albin) adalah pemegang MyKad dengan nombor siri 870615-01-5153 di bawah nama Mohamad Asri M Khairi untuk diberikan vaksin Covid-19 di tempat dan masa yang sama.

Bagi tuduhan ketiga, Albin didakwa menipu Lella Sumporo bahawa dia (Albin) adalah pemegang MyKad sama di bawah nama Mohamad Asri M Khairi untuk mendapatkan ujian calitan Covid-19 di Poliklinik Permai, Putatan pada pukul 10 pagi 12 Ogos.

Tuduhan kedua dan ketiga didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit, yang menjalankan pendakwaan, memohon tarikh sebutan baharu dan membantah ikat jamin kerana Albin tidak mempunyai dokumen pengenalan. Stephanie menetapkan 15 September untuk pengakuan Albin direkodkan di mahkamah terbuka dan memerintah supaya dia direman lanjut.

SOURCE: Harian Ekspress

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Saya Orang Sabah dan langgan saluran Telegram SabahUp2Date untuk kemas kini berita terkini.




Post a Comment

Previous Post Next Post