Sabah Dipertimbangkan Dapat Pusat 999 Sendiri

Picture
Empat beranak maut dalam kebakaran rumah mereka di Penampang, Sabah, pada 7 September lalu.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


KUALA LUMPUR: Sistem kecemasan 999 mendapat perhatian malam ini, dengan seorang menteri berkata ia akan diperbaiki susulan kematian empat beranak di Sabah yang dilaporkan akibat kelewatan masa tindak balas.

Seorang lagi menteri turut membayangkan negeri itu bakal mendapat pusat panggilannya sendiri.


Empat beranak itu maut dalam kebakaran rumah mereka di Penampang, Sabah, baru-baru ini dengan kritikan hebat terhadap sistem 999 selepas anggota bomba yang dikerahkan ke tempat kejadian lambat tiba di situ.

Dalam sidang Dewan Rakyat hari ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata, sistem tindak balas kecemasan itu akan diperbaiki supaya memaparkan maklumat lokasi tepat bagi panggilan diterima oleh pusat panggilan 999.

Susulan itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican berkata, kelewatan anggota bomba di Sabah tiba di lokasi di Penampang itu antara lain disebabkan empat alamat berbeza diberikan oleh pemanggil.


Bomba tiba di lokasi yang salah, 4km dari situ, dan terpaksa berpatah balik untuk ke tempat sebenar kebakaran berlaku.

Reezal memberitahu Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini bahawa waktu respons bomba hanya seminit lewat berbanding sasaran 10 minit bagi setiap laporan kecemasan.


Siasatan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat mendapati kebakaran bermula lebih awal daripada panggilan kecemasan pertama yang dibuat pada 2.49. Panggilan telah diterima di Ayer Keroh, Melaka, sebelum dialihkan ke ibu pejabat bomba di Sabah.

Walaupun mengakui sistem 999 bukan di bawah kementeriannya, Reezal berkata pihaknya mencadangkan pusat respons di Sabah dan pantai timur Semenanjung.

“Apabila laporan dibuat, dialek orang Sabah mungkin sukar difahami seseorang di Melaka,” katanya.

Satu lagi pusat respons boleh diadakan di zon utara Semenanjung, katanya.

Buat masa ini cuma ada tiga pusat respons di Ayer Keroh, Kuala Lumpur dan Kuching, Sarawak.

Kebakaran di Penampang itu meragut nyawa Matthew Wong, 50, isterinya Jecky Vun Kon Fung, 48, dan anak mereka Brendan, 18, serta Eric, 15. – FMT

SOURCE: FMT

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

Previous Post Next Post