Penduduk UCA 2 menunjukkan kain rentang sebagai keluhan mereka kepada pihak berkaitan berhubung masalah bekalan air yang dihadapi mereka sejak 5 bulan lalu. |
KOTA KINABALU: Penduduk di , di Jalan Tuaran Lama, dekat sini, merayu kepada pihak berkaitan supaya masalah air yang berlaku di kawasan perumahan itu sejak lima bulan lalu diselesaikan segera.
Mereka mendakwa walaupun air kini telah dibekalkan secara catuan, namun ia bukanlah penyelesaian yang diperlukan ketika ini kerana masih tidak mencukupi selain jadual catuan air yang tidak menentu.
Seorang penduduk, Zulnaidi Yaacob berkata, sepanjang lima bulan lalu merupakan satu ‘malapetaka’ bagi dia dan penduduk di situ kerana bekalan air di UCA 2 sangat bermasalah.
“Bayangkan bekalan air bukan saja sekejap ada, sekejap tiada, malah pernah beberapa kali tiada air langsung selama 24 jam.
“Ada juga beberapa kali lori tangki datang untuk membekalkan air kepada penduduk tetapi ia tidak mencukupi, ada penduduk yang nampak lori tangki datang, terus berlari sambil membawa baldi dan sekali sampai air sudah habis,” katanya kepada FMT.
Zulnaidi berkata, keadaan bertambah teruk apabila kawasan itu dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), baru-baru ini, apabila penduduk terpaksa ‘berkurung’ tanpa bekalan air.
“Memang satu malapetaka buat kami apabila menjalani PKPD dalam keadaan tiada bekalan air, memang kami alami tekanan, nasib baik PKPD ditamatkan lebih awal,” katanya yang telah menetap di UCA 2 sejak kira-kira lima tahun lalu.
Seorang lagi penduduk, Firdaus Abdul Aziz menyifatkan masalah bekalan air yang berlanjutan sejak lima bulan lalu itu sangat membebankan mereka.
“Kadang-kadang mandi pun guna air separuh baldi saja, pinggan mangkuk bertimbun beberapa hari dan pakaian pun tidak tercuci sehingga kami terpaksa ke dobi.
“Memang ketika kini sudah dibekalkan (air) secara catuan, tapi bekalan hanya bermula dari jam 11 pagi hingga 5 petang dan 11 malam hingga 5 pagi tetapi kadang-kadang ia tidak menentu juga,” katanya.
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
Post a Comment