Struktur haram di “Kampung Warisan” Sepanggar akan dirobohkan

Dr. Jeffrey semasa menghadiri taklimat sebelum melawat kawasan terbabit

KOTA KINABALU: Struktur haram yang dibina di atas tanah seluas 150 ekar milik Jabatan Perikanan di Sepanggar akan dirobohkan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, tanah itu yang merupakan sebahagian dari tanah seluas 260 ekar milik jabatan berkenaan telah diperuntukkan untuk pembangunan projek bagi Daerah Kota Kinabalu.


“Ini akan merangkumi projek berskala besar oleh Kerajaan untuk membangunkan ‘smart city’ di kawasan ini. Perkara ini sudahpun dibincangkan dan dipersetujui oleh Kabinet Negeri Sabah.

“Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serius dalam membangunkan tanah ini dan memastikannya tidak dicerobohi oleh pihak luar, terutama mereka yang tidak berhak berada di Sabah,” katanya.

Dr. Jeffrey bercakap pada salah seorang yang tinggal di kawasan tersebut.
Menteri Pertanian dan Perikanan itu membuat kenyataan itu hari ini setelah mengunjungi kawasan setinggan yang dikenali sebagai ‘Kampung Warisan’ di Sepanggar.

Kira-kira 800 struktur haram dibina di atas tanah seluas 150 ekar. Beberapa struktur dibina jauh di dalam hutan bakau, sehingga menyukarkan pihak berkuasa untuk menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang.


Tambahan pula, kecurian elektrik amat berleluasa di kawasan ini dan sebahagian besar kabel elektrik itu ditanam di bawah tanah, dan mendatangkan risiko tinggi renjatan elektrik terhadap anggota penguatkuasa setiap kali mereka cuba memasuki kawasan setinggan ini.

Selain daripada ‘Kg. Warisan’, penduduk setinggan di kawasan ini telah juga memanggil kawasan tempat tinggal mereka sebagai Kg. Berunai dan Kg. Juara.

“Mereka sebenarnya telah beberapa kali berusaha agar Kerajaan mengiktiraf mereka sebagai kampung secara rasmi. Tetapi ini tidak boleh dibenarkan kerana tanah itu milik Jabatan Perikanan.

“Beberapa perobohan telah dilakukan pada masa lalu, tetapi mereka masih berdegil. Kerajaan merobohkan struktur haram tetapi struktur baru menggantikannya akan segera dibina dalam masa beberapa bulan sahaja.

“Tidak diragukan lagi, ini adalah barah yang harus dibasmi sama sekali,” katanya.


Semasa lawatan itu, Kitingan juga bertemu dengan beberapa penduduk setinggan di Kawasan itu, menasihati mereka untuk tidak membiarkan orang lain membina rumah di sana kerana struktur tersebut akan tetap dirobohkan, dan memberitahu mereka mengenai rancangan Kerajaan untuk tanah tersebut.

“Kita mesti melindungi aset kita, tetapi kita juga harus mempertimbangkan nasib orang Sabah yang tinggal di sana. Saya difahamkan bahawa dikalangan penduduk di sini, ada juga yang bekerja sebagai kakitangan kerajaan,” katanya.

Pada masa yang sama, Kitingan menasihatkan Jabatan Perikanan untuk mengemukakan cadangan bagaimana mereka akan dapat memanfaatkan sepenuhnya tanah tersebut setelah selesai masalah setinggan ini. - Warta Oriental

Post a Comment

Previous Post Next Post