Kapal Tambahan Dikerah Jaga Perairan EEZ Sabah & Sarawak

Picture
Datuk Sabri Zali berkata, kapal itu adalah tambahan kepada dua lagi aset TLDM di Beting Patinggi Ali dan berhampiran terumbu Pulau Layang-Layang yang sentiasa diawasi 24 jam di sepanjang Laut China Selatan. - Gambar hiasan
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)


SANDAKAN: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengerahkan sebuah kapal tambahan untuk memantau aktiviti di perairan Malaysia berikutan pencerobohan kapal asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di perairan Sabah dan Sarawak, baru-baru ini.


Panglima Armada Timur TLDM, Datuk Sabri Zali, berkata kapal itu adalah tambahan kepada dua lagi aset TLDM di Beting Patinggi Ali dan berhampiran terumbu Pulau Layang-Layang yang sentiasa diawasi 24 jam di sepanjang Laut China Selatan.


“Namun dengan perkembangan baharu ini (pencerobohan kapal asing), kapal ketiga dikerahkan ke kawasan sekitar untuk memantau sebarang pencerobohan,” katanya selepas menutup Latihan Eksesais Operasi Laut (OSTEX) Timur di sini, hari ini.


Sabri berkata, kehadiran kapal asing di perairan Malaysia bukanperkara baharu, terutama yang menjalin usaha sama dengan Brunei kerana ia perlu melalui perairan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, daripada pemerhatian TLDM, pergerakan kapal asing baru-baru ini ‘lebih dari setakat lalu’ yang satu laporan dihantar kepada Kementerian Pertahanan dan kemudiannya turut dipanjangkan ke Wisma Putra.


Sementara itu, mengulas OSTEX Timur, Sabri berkata, latihan selama 10 hari itu yang bermula 27 September lalu turut membabitkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, untuk meningkatkan kecekapan tentera laut dan bagi menguji keupayaan asetnya.

“Kebanyakan aset kami berusia lebih 40 tahun dan perlu mengujinya secara maksimum untuk melihat sama ada ia berkeupayaan tanpa mengalami kerosakan besar,” katanya.


Mengenai perkembangan pangkalan baharu Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) di sini, Sabri berkata, TLDM masih menunggu pengambilalihan tanah seluas 2.2 hektar daripada kerajaan negeri. – BERNAMA

SOURCE: Berita Harian

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

Previous Post Next Post