Jumpa Mayat Dalam Longkang Di Bandar Sibuga
SANDAKAN: Seorang lelaki warga asing ditemui maut di dalam longkang dipercayai terkena renjatan elektrik di simpang pekan Batu 8, di sini pagi tadi.Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 30 tahun ditemui oleh awam sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.32 pagi.
Anggota bomba membawa naik mayat lelaki yang ditemui dalam longkang di Batu 8 Bandar Sibuga, Sandakan pada hari Sabtu. – Foto BOMBA
“Sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa selepas pihak Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memutuskan bekalan elektrik,” katanya.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan seterusnya dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk pemeriksaan lanjut.
“Pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan bagi memastikan kawasan lokasi kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan pada jam 8.18 pagi.
“Kes tersebut diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sandakan untuk siasatan lanjut,” katanya.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment