Van jenazah bekalan akhirat Atu Zero

Picture
ATU Zero membeli van untuk kerja pengurusan jenazah di Kudat, Sabah akhirnya termakbul.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)





Kuala Lumpur: Impian pelawak Atu Zero membeli van untuk kerja pengurusan jenazah di Kudat, Sabah akhirnya termakbul.

Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli berkata, dia bagaimanapun belum menghantar van itu kerana perlu menjalani pengubahsuaian seperti dilengkapi tempat mandi jenazah bagi tujuan pengurusan yang lebih sistematik.


"Saya tak menjangka impian untuk memiliki sebuah van jenazah menjadi kenyataan. Saya akui gembira walaupun orang kata itu ayat klise.

"Saya amat berterima kasih kepada sahabat yang tidak putus membantu dalam urusan ini. Saya berharap sumbangan kecil ini dapat memberikan ganjaran buat kita semua,"katanya.


Menurut Atu, kos membeli van jenazah itu adalah RM121,000, tidak termasuk kos pengubahsuaian.

"Saya masih belum tahu berapa kos yang diperlukan lagi untuk ubah suai. Insya-Allah saya akan usahakan dalam waktu terdekat untuk menjayakan misi van jenazah bagi fakir miskin. Saya mahu van jenazah ini dilengkapi kemudahan memandikan jenazah termasuk sistem paip yang baik. Saya pernah tengok van bapa mentua Ajak Shiro di Kluang, Johor yang seumpama itu.

"Saya ingin van ini memberi pelbagai kemudahan selepas mengambil kira saiz rumah di perkampungan sekitar Kudat yang kecil selain surau dan masjid jauh dari kawasan penempatan.

Saya juga berharap van ini dapat mengatasi masalah pengurusan jenazah. Mana tahu, selepas ini kami boleh luaskan perkhidmatan di luar daerah Kudat," katanya.

Dalam masa sama, Atu turut berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan misi van jenazah untuk fakir miskin sehingga ke Sarawak.


Tidak hanya itu, Atu turut memasang impian untuk membina sebuah masjid di Kudat.

"Biarlah harta saya tidak banyak di dunia tetapi adalah sedikit bekalan yang boleh saya bawa ke akhirat nanti.

Saya mohon doa semua agar impian ini dimakbulkan Allah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Atu kini sedang sibuk mempersiapkan diri di pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021 bersama kumpulan Boro, bergandingan dengan Fad dan Achey.

Picture
Keluarga Atu Zero bantu keluarga yang tidak mampu menguruskan jenazah di kampung halaman Atu di Kudat, Sabah.

Aktif usahakan program pengurusan jenazah di Kudat, Sabah, pelawak Atu Zero, 29, bersyukur inisiatif sejak 2019 itu terus memberi manfaat kepada penduduk di sekitar daerah berkenaan.

Atu atau nama sebenarnya Sharid Kunal Doli Sharif berkata, sebolehnya dia berharap usaha itu akan terus meringankan beban penduduk yang berdepan pelbagai isu menguruskan jenazah ahli keluarga mereka.

“Inisiatif itu kami mulakan kerana ramai penduduk di sana berdepan masalah apabila kematian ahli keluarga. Kami mahu bantu mereka menguruskan tuntutan waris dari hospital sehinggalah ke proses pengebumian.

“Ini kerana, ramai penduduk tidak berkemampuan membiaya kos pengurusan jenazah. Tidak ketinggalan, mereka berdepan isu mengenai dokumentasi sah sekali gus menyukarkan lagi keadaan mereka.

“Memasuki tahun ketiga jalankan inisiatif itu (pengurusan jenazah), kami juga sebolehnya bantu menguruskan proses itu untuk penduduk di daerah terdekat juga. Mana yang kami boleh sampai di luar Kudat, kami pergi bantu,” katanya.

Picture
ATU bersama isteri dan anak-anak.

Atu mengakui inisiatif itu sememangnya ada cabaran tersendiri juga terutama dana. Ini kerana mereka bergantung kepada wang simpanan sendiri serta sumbangan ikhlas daripada pelbagai pihak.

Bagaimanapun, dia bersyukur ia bukan menjadi halangan besar untuk mereka teruskannya. Menurut Atu, mereka mahukan inisiatif terbabit dilakukan untuk jangka masa panjang.

“Daripada segi dana itu memang ada sedikit cabaran. Ini kerana wang yang digunakan dalam proses pengurusan jenazah itu memang kami sendiri iktiharkan termasuk pembelian perkakas penting.

“Syukur, sumbangan itu sentiasa masuk meskipun ada penderma yang tidak dedahkan identiti mereka. Keikhlasan mereka jugalah yang sentiasa memastikan dana kami cukup dalam program ini” katanya.

Dalam pada itu, Atu juga berhasrat mahu membeli caravan bagi tujuan pengurusan jenazah lebih sistematik di sana. Ini kerana, pasukannya di Kudat kerap berdepan isu terbabit.

Picture
Atu tidak bekerja atau ditawarkan membuat persembahan sejak dua bulan lalu berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Pasukan pengurus kami di sana ada kira-kira 8 orang dan dipimpin Imam Nazri. Mereka cuma bergantung kepada van terpakai yang kami beli sebelum ini.

“Justeru, mereka berdepan isu termasuk ruang memandikan jenazah berikutan tiada tempat khas, selain jarak jauh untuk dibawa ke kubur. Disebabkan itu, sekarang kami berharap dapat membeli caravan yang siap boleh uruskan jenazah sepenuhnya di dalam saja,” katanya. – HMetro

Post a Comment

Previous Post Next Post