Warisan ‘sambar’ 3 bekas ahli DAP, ADUN pertama Semenanjung
KOTA KINABALU: Tiga bekas ahli DAP mengumumkan menyertai Warisan, dengan ADUN Selangor Bryan Lai menjadi wakil rakyat pertama di Semenanjung mewakili parti berpangkalan di Sabah itu.Dua bekas personaliti DAP Pulau Pinang juga mengumumkan menyertai parti itu iaitu bekas Ahli Parlimen Jelutong dua penggal, Jeff Ooi dan bekas Exco kerajaan negeri dan penyokong setia parti, Danny Law.
(Dari kiri) ADUN Selangor Bryan Lai, bekas Ahli Parlimen Jelutong Jeff Ooi dan bekas Exco Pulau Pinang Danny Law berkata mereka akan menyertai Warisan.
Selain itu, bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC Sunther Subramaniam dan bekas ADUN Kukup, Johor, Suhaimi Salleh juga mengumumkan menyertai parti itu.
Ooi berkata, beliau menghantar surat peletakan jawatan kepada DAP petang tadi manakala Law berbuat demikian Selasa lalu. Lai pula meninggalkan DAP April tahun lalu dan kekal sebagai ADUN Bebas di DUN Teratai, Selangor.
Lai berkata, beliau dan penyokongnya sudah lama menunggu untuk menyertai Warisan dan percaya parti itu satu-satunya parti berbilang kaum di negara ini.
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. – Gambar Fail
“Kami bekerja keras untuk memastikan Shafie Apdal (Presiden Warisan) menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya umum ke-15,” katanya pada majlis parti di sini malam tadi.
“Beliau seorang pemimpin yang berfikiran terbuka dan sederhana dan kami memerlukan pemimpin seperti ini.” Pada majlis sama, Ooi berkata, beliau mahu membawa model “semangat kekeluargaan” Sabah ke Semenanjung, kerana politik di sini “terlalu toksik dan perkauman”.
Katanya, beliau dan Law telah menyediakan strategi politik untuk Warisan di Pulau Pinang dan mengumpul data berkaitan untuk parti itu.
Beliau memberitahu FMT, dia kemudian menyerahkan peletakan jawatan melalui mesej kepada Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Loke Siew Fook, pada 5.30 petang.
Ooi adalah Ahli Parlimen Jelutong selama dua penggal dan digugurkan pada pilihan raya 2018. Law pula ADUN Batu Lanchang, Pulau Pinang tiga penggal dan Exco kerajaan negeri dua penggal, juga digugurkan sebagai calon pilihan raya pada 2018 dan tidak memegang jawatan dalam DAP sejak itu.
Law berkata, penyertaannya dalam Warisan adalah “peluang baik untuk meneruskan perjuangan politiknya ke arah negara berbilang kaum”.
SOURCE: FMT
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment