KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengambil inisiatif menyeragamkan undang-undang kecil bangunan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini melalui penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UBBL) 2022.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata langkah itu bagi menangani masalah pembinaan struktur tanpa kelulusan PBT atau haram yang sering menjadi isu di kebanyakan daerah di negeri ini.
Katanya, pewartaan UBBL 2022 itu bagi mengatasi ketidakselarasan atau ketidakseragaman pentadbiran, pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang kecil bangunan yang berlaku di setiap PBT sebelum ini. Beliau berkata, undang-undang kecil bangunan yang ada di beberapa PBT juga sudah tidak relevan, sekali gus perlu ditukar dengan undang-undang kecil baharu dan seragam di semua PBT.

"Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah mengambil inisiatif melalui Jawatankuasa Semakan UBBL 2022 untuk meneliti dan mengkaji semula undang-undang kecil bangunan di setiap PBT agar relevan, terkini dan memenuhi kehendak semasa.

"Dengan adanya UBBL 2022 ini, semua PBT dapat menyelaraskan penggunaan undang-undang bangunan yang sama," katanya pada Majlis Pelancaran UBBL 2022, di sini, semalam.

Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, berkata, antara pindaan baharu dan penting dalam UBBL 2022 ialah berkaitan pengeluaran sijil siap dan pematuhan (CCC) oleh pihak profesional atau Principal Submitting Person (PSP) bagi menggantikan Perakuan Kelayakan Menduduki (OC) yang dikeluarkan PBT sebelum ini.

Katanya, PSP adalah golongan profesional yang terdiri daripada arkitek, jurutera dan pelukis pelan berdaftar.

"Pengeluaran CCC oleh PSP adalah secara 'self certification' dan 'self regulation'. PBT boleh menggunakan kuasanya di bawah Undang-Undang Kecil 216(4) dan (5) UBBL 2022 untuk menjalankan pemeriksaan ketika pembinaan.

"Ia bagi memastikan bangunan dibina mematuhi pelan bangunan diluluskan. Sekiranya terdapat ketidakpatuhan, PBT boleh menahan pengeluaran CCC," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, UBBL 2022 satu langkah positif ke arah penyesuaian amalan senibina dan kejuruteraan masa kini.

Selain itu, katanya UBBL 2022 juga memperuntukkan kuasa undang-undang lebih ketat dengan mengenakan kompaun tidak melebihi RM5,000 dan penalti tidak lebih RM100,000 terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah UBBL 2022.

SOURCE: BERITA HARIAN

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date