Remaja perempuan rentung dalam kebakaran di Ranau
Ranau: Remaja perempuan ditemukan rentung dalam kebakaran rumah dua tingkat di Kampung Lasing di sini, awal pagi tadi.Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mayat Agnes Jong Anak Adam, 15, ditemukan rentung di ruang tamu rumah tingkat bawah sebaik api berjaya dipadamkan oleh anggota bomba.
Difahamkan, ketika kejadian, bapa saudara mangsa cuba untuk menyelamatkannya, namun gagal, berikutan asap tebal dan api yang marak.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 1.36 pagi.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran dilaporkan membabitkan sebuah rumah dua tingkat terbakar sepenuhnya.
"Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan satu aliran dua pancutan dari sumber air jentera," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, api berjaya dikawal 2.55 pagi dan seorang remaja perempuan ditemukan rentung di ruang tamu tingkat bawah rumah berkenaan.
"Mayat mangsa kemudian dibawa keluar dari lokasi kebakaran dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan pada jam 4.26 pagi," katanya.
SOURCE: Laporan Juwan Riduan Disiarkan pada: Mei 14, 2024 @ 8:18am di Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment