Politeknik Kota Kinabalu dinobatkan Politeknik Terbaik Malaysia!


Politeknik Kota Kinabalu dinobat Politeknik Terbaik Malaysia Syabas dan tahniah Politeknik Kota Kinabalu serta semua pihak. Foto : Julkifli Awang Besar
Politeknik KK, Politeknik Terbaik Malaysia 2015

KOTA KINABALU, 27 Apr –​ Politeknik Kota Kinabalu dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Khas Politeknik Terbaik sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Politeknik Malaysia (PolySEA) 2015 yang berlangsung di Kuantan, Pahang semalam.

Politeknik Kota Kinabalu dipilih dari 35 buah politeknik seluruh Malaysia berdasarkan kecemerlangan institusi tersebut dalam pembangunan sukan sepanjang tempoh 2011 – 2015.

Menurut Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Roslee Yahya, Anugerah Khas ini adalah atas daya usaha pegawai dan kakitangan Jabatan Sukan, Kebudayaan dan Kokurikulum, Politeknik Kota Kinabalu, jurulatih dan atlet yang cemerlang.

“Bagi kategori Anugerah Khas, beberapa kriteria perlu diambil kira seperti inisiatif pembangunan fasiliti sukan, pembudayaan sukan dalam kalangan pelajar dan seluruh warga Politeknik, pencarian bakat pelajar dalam bidang sukan, penyertaan dan pencapaian atlet dan sebagainya.

“Alhamdulillah kita telah memenuhi kesemua kriteria yang ditetapkan dengan cemerlang dan diharap momentum kecemerlangan ini akan berterusan,” jelas Roslee.

Penyampaian hadiah berbentuk Piala dan wang tunai RM10,000 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching.


Terdahulu, Mary Yap  berkata, semua Politeknik di negara ini perlu memperkasa bidang sukan dalam usaha melahirkan graduan berkualiti dari segi akademik, sahsiah diri dan kokurikulum.

Katanya usaha itu perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan bidang berkenaan terus diberikan fokus dan keutamaan selain pencapaian akademik.

“PolySEA yang dianjurkan sejak 2014 merupakan satu daripada usaha merancakkan pembangunan sukan di institusi pendidikan Politeknik,” ujarnya lagi.

Program anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Majlis Sukan Politeknik merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada atlet institusi tersebut sebagai penghargaan kepada sumbangan cemerlang yang diberikan oleh mereka dalam pembangunan sukan di pentas kebangsaan.

Seramai 100 atlet dan pegawai dari Politeknik seluruh Malaysia layak dicalonkan untuk meraih 10 anugerah yang disediakan tahun lalu.

Mohammad Ridzwan Azmi dari Politeknik Ibrahim Sultan, Johor Baharu menerima anugerah Olahragawan Politeknik Malaysia, manakala Nur Ira Fazierah John dari Politeknik Ungku Omar, Perak dinobatkan sebagai Olahragawati Politeknik Malaysia.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Haji Mohlis Jaafar.

Post a Comment

أحدث أقدم