Jaringan Paunovic bawa Sabah FA ke Liga Super 2020

Gol yang dicari-cari Sabah akhirnya muncul pada minit ke-58 hasil satu rembatan padu Paunovic dari jarak kira-kira 25 meter di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 1-0.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)



Kejuaraan semakin hampir, Tambadau luaskan kuasa di Pasir Gudang


JDT II 0 SABAH 1

Sabah semakin menghampiri kejuaraan Liga Perdana apabila membenam Johor Darul Ta'zim II (JDT II) 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, sebentar tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan skuad Tambadau itu mengesahkan tiket ke Liga Super musim depan selepas mengumpul 37 mata daripada 17 perlawanan.


Pasukan tuan rumah hampir memperoleh gol awal menerusi bekas penyerang Sabah, Rozaimi Abd Rahman, yang melakukan rembatan kencang dari dalam kotak penalti, namun ia sekadar menggegarkan tiang gol lawan.


Lima minit kemudian, penyerang import Tambadau, Aguinaldo Mendes Veiga, melakukan gerakan menarik di sebelah kiri kawasan JDT II, bagaimanapun hantaran lintangnya selepas itu gagal disambar dengan baik oleh Alto Linus.


Pada minit ke-20, penyerang dari Angola itu sekali lagi mencemaskan kubu tuan rumah apabila melakukan larian solo, termasuk mengelecekkan penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli, tetapi percubaannya selepas itu sedikit tersasar.

JDT II juga sekali-sekala membahayakan kubu Sabah selepas itu, namun, kekentalan barisan pertahanan yang diketuai Rawilson Batuil menggagalkan segala usaha tuan rumah memperoleh gol pertama.

Pada minit ke-22, Rodoljub Paunovic hampir menceriakan ribuan penyokong Sabah yang hadir ke gelanggang lawan itu, namun sepakan lambungnya selepas penjaga gol gol lawan sudah terkeluar dari posisinya gagal menepati sasaran.


Separuh masa pertama perlawanan juga menyaksikan pengendali JDT II, Ervin Boban, mengeluarkan penyerang import mereka, Mohamad Ghaddar, untuk digantikan dengan D. Saarvindran pada minit ke-34.

Kedua-dua pasukan kemudian masuk ke bilik persalinan tanpa sebarang jaringan selepas pengadil meniupkan wisel penamat separuh masa pertama.

Bermula babak kedua, pertahanan import JDT II, Francisco Insa Bohigues, hampir tersepak bola ke gawang sendiri selepas cuba menghalang hantaran lintang Alto, mujur ia tersasar.

Gol yang dicari-cari Sabah akhirnya muncul pada minit ke-58 hasil satu rembatan padu Paunovic dari jarak kira-kira 25 meter di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Tersentak dengan jaringan itu, JDT II menggandakan usaha untuk mencari gol penyamaan, namun benteng pertahanan skuad Tambadau itu terlalu 'keras' buat tuan rumah.

Jurulatih Sabah, Jelius Ating, kemudian membuat sedikit percaturan dengan corak permainan lebih bertahan apabila memasukkan pemain berpengalaman, Maffry Balang, untuk menggantikan Ricco Nigel Milus pada minit ke-71.


Pada minit ke-80, pintu gol Sabah cemas hasil sepakan percuma S. Kumaahran dari sebelah kiri kawasan Sabah,  bagaimanapun Rozaimie Rohim bertindak cemerlang untuk menampan bola keluar.


Kedudukan 1-0 itu kemudian kekal sehingga pengadil, Mohd Ridzuan Rozali, meniupkan wisel penamat.

Keputusan lain:

Liga Super

PKNS FC 1 TERENGGANU 2
KEDAH 1 PKNP 1

Liga Perdana 

KELANTAN 2 SELANGOR UNITED 0

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم