Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group (MAG), Kapten Izham Ismail, berkata jumlah kekerapan penerbangan ditingkatkan kepada lapan kali sehari bagi penerbangan terus ke Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau dari Kuala Lumpur dalam tempoh berkenaan.
K atanya, kekerapan penerbangan ke Kota Kinabalu dari 10 hingga 14 September ini ialah lapan kali sehari, 15 hingga 23 September (tujuh kali) dan 24 hingga 28 September (lapan kali).Bagi penerbangan ke Sandakan dan Tawau, dari 10 hingga 14 September dan 24 hingga 28 September, kekerapannya adalah tiga kali sehari.
Izham berkata, syarikat akan terus memantau permintaan penumpang bagi penerbangan ke Sabah dan mengubah suai kapasiti rangkaiannya dari semasa ke semasa bagi membolehkan penumpang terbang ke 'Negeri di Bawah Bayu'.
Berikutan wabak COVID-19, katanya, Malaysia Airlines meningkatkan langkah keselamatan dan kesihatan dengan memperkenalkan inisiatif selaras protokol keselamatan dan kesihatan antarabangsa oleh badan pengawal selia antarabangsa merangkumi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan Kementerian Kesihatan.
"Yakinlah bahawa keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kakitangan menjadi keutamaan paling tinggi bagi kami setiap masa.
"Kami mengambil perhatian khusus di semua titik sentuh pelanggan bagi memastikan pengunjung ke Sabah boleh 'Terbang Dengan Yakin' dan meneroka semua pengalaman luar biasa yang ditawarkan negeri itu," katanya.
Isham berkata, bermula sekarang hingga 2 September, cabang operasi pelancongan Malaysia Airlines, MHholidays, turut memberi tawaran istimewa kepada keluarga melalui kempen 'Kids Fly + Stay Free', yang menawarkan pakej percutian dengan potongan sehingga 50 peratus ke Sabah.
Katanya, setiap tempahan melayakkan seorang kanak-kanak berusia antara tiga hingga 11 tahun atau berusia dua tahun ke bawah terbang dan menginap secara percuma di hotel terpilih.
Tawaran terhad pakej percutian itu boleh didapati di laman web MHholidays holidays.malaysiaairlines.com sepanjang tempoh kempen.
إرسال تعليق