Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu dilaporkan menjadi penyumbang kepada peningkatan kes positif COVID-19 di negeri Sabah.
Perkara itu didedahkan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi ciapan di Twitternya pada Sabtu.
‘’Kota Kinabalu merekodkan 312 kes positif dengan 204 kes dilaporkan melibatkan Kluster Penjara Kepayan.
‘’Manakala 58 daripada 78 kes di Tawau dikesan melalui kontak rapat, 39 kes di Keningau, Kudat (35), Sandakan (33), Sipitang (25) dan Beaufort (24),’’ katanya.
Tambahnya daripada keseluruhan 647 kes positif yang dilaporkan, 44.4 peratus atau 287 kes dikesan menerusi kluster sedia ada manakala 34 peratus bersamaan 220 kes hari ini dikesan menerusi kontak rapat.
Pada Sabtu, Sabah mencatatkan 647 kes positif COVID-19 sekali gus menyaksikan peningkatan 321 kes berbanding Jumaat dengan 326 kes.
Ini menjadikan jumlah kes kumulatif di negeri itu kepada 74,479 setakat ini.
إرسال تعليق