KOTA KINABALU: Jumlah kes baharu COVID-19 Sabah hari ini amat tinggi dengan sejumlah 647 kes dikesan.
Sabah merekodkan lonjakan tinggi dalam jangkitan Covid-19 selepas 647 kes baharu dikesan dalam 24 jam lalu, iaitu hampir sekali ganda berbanding semalam.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ini selepas lebih banyak sampel ujian diterima semula.
Menurutnya, 44.4% peratus atau 287 kes berkenaan berpunca daripada kluster-kluster sedia ada termasuk kluster baharu iaitu Jambatan Liawan Keningau yang mencatatkan 38 kes.
"Kluster Penjara Kapayan menambah 204 kes baharu iaitu sejumlah 65.4 daripada 312 kes yang direkodkan di Kota Kinabalu.
"34 peratus atau 220 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat dan Tawau turut mencatatkan kes tertinggi dalam kategori ini iaitu 58 kes," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Tawau semalam mencatatkan 78 kes, Keningau 39 kes, Kudat 35 kes, Sandakan 33 kes dan Sipitang 25 kes.
Sementara itu, Beaufort merekodkan 24 kes, Pitas 19 kes, Penampang dan Tuaran 13 kes, Semporna sembilan kes dan Putatan lapan kes.
"Kota Belud, Kota Marudu dan Beluran masing-masing mencatatkan tujuh kes baharu, Papar enam kes, Kinabatangan empat kes, Lahad Datu tiga kes dan Ranau dua kes.
"Kunak, Kalabakan dan Tongod pula masing-masing merekodkan satu kes sahaja. Daerah seperti Tambunan, Kuala Penyu, Nabawan, Telupid dan Tenom tidak mencatatkan sebarang kes baharu," katanya.
Ini bererti kes kumulatif di negeri itu, yang merekodkan 326 jangkitan baharu semalam, meningkat hampir 75,000.
Jumlah kes melebihi 300 sejak dua hari lalu susulan pihak berkuasa meningkatkan aktiviti saringan dalam komuniti serta kluster sedia ada.
إرسال تعليق