SIPITANG: Polis menahan seorang lelaki dikenali sebagai 'doktor' yang dipercayai dalang utama sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah ini.
Turut diberkas dua lagi rakannya dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir, di sini, jam 11.30 pagi, 8 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh, berkata serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang, hasil risikan dan maklumat orang ramai.
Katanya, serbuan di rumah berkenaan berjaya menahan dua lelaki dan menemui paket plastik lutsinar pelbagai saiz di dalam satu kotak di atas meja.
Beliau berkata, risikan dan maklumat kemudian membawa penahanan seorang lagi lelaki dipercayai ahli rangkaian sindiket didalangi doktor terbabit.
"Salah seorang yang ditahan dikenali dengan nama gelaran Doktor@Ajak. Suspek terbabit berperanan sebagai pengedar dadah syabu manakala dua rakannya itu adalah ahli sindiketnya.
"Suspek dipercayai mengedar dalam bentuk set atau 'bal' dengan berat 5.0 gram hingga 500 gram pada harga RM20 hingga RM5,000 di sekitar daerah ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Champin berkata, dengan tertangkapnya Doktor@Ajak ini, polis dapat melumpuhkan sindiket pengedaran dadah syabu di daerah berkenaan.
"Rampasan dadah syabu ketika serbuan bernilai RM10,000. Siasatan juga mendapati suspek terbabit tidak pernah ditangkap selama ini.
"Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek didapati positif dadah syabu," katanya.
Menurutnya, suspek doktor berusia lingkungan 50 tahun dan dua lagi suspek berusia masing-masing 30 tahun kini direman untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.
إرسال تعليق