Bung Moktar letakkan diri dalam keadaan janggal

Janggal! Tindakan Datuk Seri Bung Moktar yang menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sedangkan dia salah seorang Timbalan Ketua Menteri Sabah.



KOTA KINABALU: Pendirian pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih kekal sama untuk meneruskan kerjasama di peringkat negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi GRS berkata, beliau enggan mengulas lanjut mengenai tindakan Datuk Seri Bung Moktar yang menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Seperti dinyatakan sebelum ini, pemimpin GRS sependapat dan sebulat suara bersetuju bahawa kerjasama dalam kerajaan negeri yang memerintah hari ini akan berterusan.

“Kami akan terus mendukung mandat yang diberikan kepada kami dalam pilihan raya negeri yang lalu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik UMS, Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, keputusan Bung Moktar itu meletakkan dirinya dalam keadaan janggal.


Pendirian pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah itu bertindak menarik sokongan daripada PN di peringkat persekutuan namun, mengekalkan kerjasama dengan pemimpin PN di peringkat negeri.

“Saya tidak melihat keputusan Bung Moktar sebagai pendirian bercelaru kerana beliau pasti mempunyai alasan tersendiri.

LEE KUOK TIUNG
“Meskipun pilihan itu meletakkan beliau dalam keadaan tersepit, khususnya jika ia menyentuh kerjasama antara kerajaan Sabah dan Persekutuan. Ini sudah pasti suatu keadaan yang janggal dan keadaan ini tidak pernah berlaku dalam politik,” katanya.

Kuok Tiung berkata, Bung Moktar dan pemimpin UMNO Sabah sudah berulang kali menyatakan komitmen mereka terhadap GRS.

Justeru itu, sehingga persidangan Parlimen pada September ini, tiada sebarang perubahan akan dilihat berlaku dalam politik tanah air.

Bagaimanapun katanya, pergolakan politik negara tidak akan berakhir pada bulan depan kerana ia akan disusuli dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menjelang PRU-15, beliau percaya rakyat akan lebih matang berikutan senario pergolakan politik yang berlaku di negara ini.

Mengulas lanjut katanya, Bung Moktar dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin bertindak menyertai kumpulan minoriti UMNO yang bertindak menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Jika dilihat majoriti pemimpin UMNO memilih untuk terus berkerjasama sehingga PRU-15 kerana ingin fokus menguruskan pandemik Covid-19 dan memperbaiki kesejahteraan serta ekonomi rakyat.

“Kita nampak pemimpin seperti Datuk Seri Hishammuddin Hussein menerusi media sosial mereka secara jelas menyatakan ingin fokus kepada tugas dan berusaha melandaikan lekuk Covid-19 seolah-olah tiada pergolakan politik dalam UMNO.

“Itulah pemimpin yang negara kita perlukan dan bukannya yang mengambil kesempatan berpolitik bagi mengeruhkan keadaan semasa,” katanya.

Post a Comment

أحدث أقدم