Kampung Kulambai, Kota Belud |
Kota Kinabalu: Sabah antara empat negeri dipilih oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi membangunkan program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) sebagai komitmen merangka hala tuju strategik memperkasa industri padi dan beras negara.
Menurut kenyataan Bernas, kawasan sawah padi berpotensi yang telah dikenal pasti sebagai lokasi membangunkan SMART SBB di Sabah ialah Kampung Kulambai, Kota Belud; manakala tiga kawasan lain merangkumi Batang Lupar di Sarawak; Sungai Batu Pahat di Perlis dan Setiu di Terengganu.
Kenyataan itu memaklumkan program SMART SBB adalah seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan kadar Tahap Sara Diri beras negara iaitu 75 peratus, dan ia bermula dengan Memorandum Persefahaman antara Bernas dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) pada awal tahun.
"Ia satu daripada inisiatif MAFI bagi menyatukan tanah sawah untuk membentuk satu sistem pengurusan ladang berpusat. Sistem berpusat ini dilihat dapat mengoptimumkan penggunaan sumber sedia ada serta meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman dan pengeluaran hasil padi negara.
"Sebagai syarikat berpengalaman luas dan mempunyai rangkaian kukuh dalam industri, Bernas menyasarkan kawasan-kawasan mempunyai produktiviti rendah dengan mengunjurkan lonjakan hasil antara 40 hingga 60 peratus semusim," menurut kenyataan itu, hari ini.
SMART SBB perkasa industri padi dan beras |
Di samping itu, Bernas turut melaksanakan SMART SBB bersama pengilang bumiputera seperti program antara Bernas dengan Kilang Beras Dibuk di Perlis, dan ketika ini kerja-kerja pemulihan infrastruktur, tanah dan penanaman padi sedang giat dilakukan kawasan-kawasan dikenal pasti.
Kenyataan itu memaklumkan Bernas memerlukan ketelitian menyeluruh termasuk membangunkan tanah sawah yang sudah lebih 10 tahun terbiar seperti di Kampung Kulambai dan kawasan luar jelapang seperti Sungai Batu Pahat.
Bernas akan bekerjasama dengan hampir 200 pesawah dan mereka turut didedahkan dengan teknik dan amalan pertanian baik bagi menguruskan sawah berskala besar, selain penggunaan mekanisasi serta teknologi terkini yang dilihat dapat memudahkan kerja-kerja ladang bagi mewujudkan sistem pertanian lebih terancang.
"Ini sekali gus dapat menjimatkan kos penanaman secara menyeluruh, selain membantu pesawah memperoleh hasil tuaian baik. Penglibatan pesawah merupakan elemen terpenting dalam program ini turut menunjukkan angka memberangsangkan," menurut kenyataan itu.
Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) |
Bernas juga akan sentiasa memberi sokongan kepada pesawah melalui pelbagai platform perkongsian ilmu pengetahuan bagi memacu kejayaan mereka sekali gus merancang untuk memperluaskan lagi program SMART SBB ini kepada varieti padi lain seperti beras wangi pada masa akan datang, menurut kenyataan itu.
إرسال تعليق