Lebih sejam pujuk suspek pecah pejabat KPLB sembunyi atas pokok

Lebih sejam pujuk suspek pecah pejabat sembunyi atas pokok


KOTA KINABALU: Seorang lelaki nekad memanjat pokok untuk mengelak ditahan polis selepas menceroboh pejabat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di Sembulan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata selepas kira-kira sejam di atas pokok itu suspek akhirnya akur dan turun menyerah diri kepada polis dalam kejadian kira-kira jam 9 malam semalam.


“Hasil siasatan awal mendapati perbuatan suspek berumur 32 tahun menceroboh pejabat kementerian itu disedari pengawal keselamatan bertugas.

“Suspek yang dikejar terus melarikan diri sebelum memanjat sebatang pokok kayu ara di kawasan bangunan kementerian berkenaan untuk menyembunyikan diri.

“Pengawal keselamatan berkenaan kemudiannya segera membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.


SEMBUNYI: Suspek bersembunyi di atas pokok untuk mengelak ditahan.
Menurutnya bertindak dengan laporan, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati suspek masih berada di atas pokok berkenaan.



"Operasi turut dibantu pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hadir ke lokasi kejadian selepas menerima makluman.

“Suspek yang juga seorang pengganggur pada awalnya berdegil dan tidak mahu menuruti arahan diberikan.


“Selepas lebih sejam dipujuk oleh polis dan anggota bomba, suspek akhirnya akur dan turun menyerah diri,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga tahun atau denda yang boleh sampai RM5,000 atau kedua-duanya.

Post a Comment

أحدث أقدم