Masuk pasar raya, dine-in perlu lengkap divaksin

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun



KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mula memberi kelonggaran dan menetapkan beberapa syarat berkaitan kemasukan ke premis perniagaan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) baharu.

Langkah ini susulan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Ogos lalu mengenai beberapa kelonggaran diberikan terhadap individu yang lengkap dua dos vaksin.

Menerusi SOP yang dikemas kini hari ini, kerajaan negeri memutuskan hanya membenarkan individu lengkap divaksin sahaja boleh masuk ke pasar raya dan dine-in di restoran berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hanya pelanggan dan pekerja yang telah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera dibenarkan memasuki pasar raya mahupun restoran.

Bagaimanapun katanya, aktiviti rentas daerah di Sabah masih belum dibenarkan. Namun, pergerakan pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang ingin berjumpa anak berumur di bawah 18 tahun dibenarkan merentas daerah dalam negeri Sabah dengan syarat mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengemukakan dokumen berkaitan.

Menurut beliau, operasi hotel dan penginapan dibenarkan bagi pelanggan dalam daerah yang sama dengan syarat pelanggan dan pekerja hotel atau inap desa (homestay) telah lengkap divaksin.

Ketika ini, destinasi dan tapak pelancongan termasuk di luar bandar masih tidak dibenarkan beroperasi.

“Pengecualian diberikan bagi aktiviti pelancongan yang melibatkan gelembung perjalanan. Tetapi, ia tertakluk kepada syarat iaitu pengusaha pelancongan dan pekerja hotel atau inap desa telah lengkap divaksin dan mendapat kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 negeri Sabah.

“Sementara itu, aktiviti keagamaan di masjid dan surau dibenarkan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri manakala, upacara akad nikah di pejabat agama terhad lapan orang dan acara pengebumian terhad kepada 12 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, bagi aktiviti dan upacara di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa negeri.- UTUSAN ONLINE

Post a Comment

أحدث أقدم