Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi menteri terbaharu isytihar harta

Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi



PETALING JAYA – Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi merupakan anggota pentadbiran kerajaan terbaharu membuat pengisytiharan harta.

Menurut maklumat yang dikeluarkan, Koh Hoi daripada parti Star itu telah dilantik memegang portfolio tersebut sejak April lalu merekodkan pendapatan bulanan sebanyak RM30,662.89.

Menerusi portal Portal Perisytiharan Harta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini, Koh Hoi turut mempunyai jumlah aset sebanyak RM1 juta.

Beliau merupakan individu terbaharu membuat pengisytiharan tersebut dalam tempoh tiga bulan terkini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merekodkan pendapatan bulanan tertinggi dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan apabila menerima pendapatan bulanan sebanyak RM93,841.65 dengan jumlah aset melebihi RM10 juta.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa pula berada di kedudukan kedua dengan pendapatan RM87,877.20 sebulan dengan jumlah aset kurang dari RM20 juta.

Tempat ketiga pula adalah Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Dr. Jeffrey G Kitingan dengan RM85,450 sebulan dengan jumlah aset kurang dari RM20 juta.

Di tangga keempat pula adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dengan pendapatan bulanan sebanyak RM84,615.20 sebulan dengan jumlah aset bernilai di antara RM5 hingga RM8.5 juta dan kelima Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan pendapatan RM69,427.20 sebulan dengan jumlah aset bernilai di antara RM5 hingga RM8.5 juta.

Post a Comment

أحدث أقدم