Pemain badminton para negara, Didin Teresoh |
KUALA LUMPUR: Walaupun tidak diletakkan sebagai sandaran, namun pemain badminton para negara, Didin Teresoh tetap mengintai peluang untuk melakar kejutan apabila beraksi di Sukan Paralimpik 2020 yang akan bermula, Selasa ini.
Kali pertama beraksi di pentas Paralimpik, Didin atau mesra dengan panggilan Cikgu Didin, berkata kejayaan pemain perseorangan lelaki Guatemala, Kevin Cordon yang mara ke separuh akhir Sukan Olimpik 2020 menjadi inspirasi buat dirinya.
Katanya, secara peribadi dia meletakkan sasaran untuk melangkah ke separuh akhir dalam acara perseorangan lelaki badminton SS6 (kerdil).
"Persediaan pada minggu terakhir ini lebih tertumpu kepada fizikal dan mental kerana sudah tentu ada sedikit kebimbangan kerana ini adalah kali pertama menyertai kejohanan Paralimpik.
"Saya mahu lakukan kejutan seperti Kevin di mana apabila kita tidak diletakkan sebagai pilihan dan berjaya melakukan kejutan sekali gus ia adalah kejayaan lebih membanggakan.
"Saya tidak mahu letak sasaran tinggi dengan cukup berjaya hingga ke pusingan separuh akhir kerana tidak mahu bermain dalam keadaan tekanan apabila mengharapkan mahu memenangi pingat," katanya yang mendapat bimbingan legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek sebagai jurulatih.
Sebagai rekod, Didin yang berusia 46 tahun adalah atlet tertua mewakili kontinjen negara selain turut berada pada ranking terendah antara enam peserta yang mengambil bahagian.
Pemain berasal dari Sabah itu pernah memenangi pingat emas pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
إرسال تعليق