Sambutan Perayaan Hantu Lapar dibenar ikut SOP

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri akan membenarkan upacara keagamaan untuk Perayaan Hantu Lapar (Perayaan Zhongyuan atau Yulanpen yang disambut oleh penganut agama Buddha dan Tao) di rumah ibadat dari 8 Ogos hingga 6 September, tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).



Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun (gambar) berkata kehadiran di rumah ibadat terhad kepada 12 orang sahaja termasuk ahli jawatankuasa dan tertakluk kepada penjarakan fizikal.

“Waktu operasi adalah dari jam 6 pagi hingga 2 petang dan 4 petang hingga 8 malam,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu, menambah adalah wajib untuk penganut dan ahli jawatankuasa membawa peralatan sembahyang mereka sendiri kerana perkongsian peralatan tidak dibenarkan.

Masidi menambah bahawa kehadiran kanak-kanak di bawah 12 tahun tidak digalakkan.

SOP wajib harus digunakan, termasuk mendaftar kehadiran pada MySejahtera atau buku daftar, pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pelitup muka serta cecair pensanitasi tangan, antara lainnya.

Beliau menambah, sambutan perayaan di rumah pada 21 dan 22 Ogos adalah dibenarkan tetapi tertakluk kepada peraturan mengikut jenis kediaman.


Ikut Norma Baharu, Sambutan Perayaan Zhongyuan atau Yulanpen Dibenarkan
Masidi berkata bagi kediaman atas tanah, sambutan di kawasan rumah hanya dibenar dalam kalangan ahli keluarga sama.

“Bagi kediaman bertingkat, tidak lebih daripada 10 ahli keluarga dibenarkan pada satu-satu masa dan hanya dengan persetujuan dan pemantauan jawatankuasa pengurusan bangunan itu,” kata Masidi.


Beliau berkata jawatankuasa pengurusan mesti memastikan setiap kehadiran direkodkan di MySejahtera, SabahTrace atau dalam buku daftar.

Jawatankuasa juga mesti menyediakan kaunter di pintu masuk untuk tujuan pemeriksaan suhu badan, merekodkan kehadiran dan cecair pensanitasi tangan di samping menjalankan kerja-kerja sanitasi selama 30 minit pada setiap sesi.

Mengenai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Sabah, di bawah fasa dua 34,997 individu telah menerima dos pertama pada Sabtu, membawa jumlahnya kepada 1,002,452 sementara 12,205 menerima dos kedua, membawa jumlahnya kepada 390,238.

“Program vaksinasi berjalan lancar. Pada Jumaat, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah memberikan 48,195 dos vaksin kepada penerima yang layak.

“Kami berharap agar terus menerima bekalan vaksin yang mencukupi dan tidak terganggu supaya JKNS dapat mempergiatkan dan mempercepatkan kadar vaksinasi di Sabah,” kata Masidi.

Sabah merekodkan 1,255 kes pada Sabtu sementara rekod tertinggi baharu sebanyak 13 kematian dicatatkan di seluruh negeri – enam di Kota Kinabalu, tiga di Tawau, dua di Sandakan dan satu setiap satu di Semporna dan Sipitang.

Dua kluster baharu direkodkan, iaitu Kluster Sarikan di Nabawan dan Kluster Lebuh Empat di Sandakan.

Kluster Sarikan melibatkan jangkitan komuniti, berpunca daripada seorang lelaki berumur 34 tahun yang diuji positif pada 3 Ogos selepas mengalami demam, sakit tekak, batuk dan hilang deria rasa dan bau sejak 27 Julai.

“Daripada 48 kontak yang disaring, 14 didapati positif. 34 masih menunggu keputusan sampel ujian,” kata Masidi.

Kluster Lebuh Empat melibatkan anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan tahanan di lokap IPD Sandakan.

“Pesakit indeks ialah seorang tahanan berumur 63 tahun yang diuji positif pada 5 Ogos. Daripada 122 kontak yang disaring, 50 didapati positif. 71 sampel ujian masih menunggu keputusan,” kata Masidi.

Mengenai kes harian Sabah, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah tertinggi dengan 241 kes, disusuli Tuaran dengan 143 kes, Tawau dengan 135 kes, Beluran dengan 123 kes dan Sandakan dengan 108 kes.

Masidi berkata kontak rapat terus menjadi penyumbang terbesar dengan 618 kes, atau 49.24 peratus daripada jumlah kes, sementara kes bergejala (kes sporadik) menyumbang 19.68 peratus daripada jumlah kes dengan 247 kes.

Beliau berkata jumlah kes harian itu juga disumbangkan oleh 131 kes dari kluster dan 187 kes dari saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.