Jeffry sebagai Presiden STAR sabah mahu TPM dari Sarawak |
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) berharap jawatan Timbalan Perdana Menteri baharu kerajaan Pusat diberikan kepada pemimpin dari Sabah dan Sarawak.
Presidennya, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata keutamaan harus diberikan khususnya kepada pemimpin dari Sarawak kerana negeri itu banyak menyumbang jumlah sokongan pencalonan Perdana Menteri kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, memang wajar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada pemimpin dari kedua-dua negeri sebagai penghargaan kepada sokongan mereka dan saranan itu patut mendapat pertimbangan.
"Ya. Kenapa tidak. Sarawak paling banyak menyumbang sokongan kepada pemilihan Perdana Menteri. Jadi, kita harap perkara ini diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
"Soal siapa calon Timbalan Perdana Menteri itu bukan satu masalah bagi saya kerana yang penting ialah jawatan itu diberikan kepada pemimpin dari sini (Sabah Sarawak). Tetapi yang pastinya ialah dari Sarawak," katanya kepada pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dari Kuala Lumpur, hari ini.
Ahli Parlimen Sarawak daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang BEBAS menghadiri sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong secara maya dari Kuching, semalam. |
Sementara itu, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata beliau yakin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan tergugat, berikutan perubahan tampuk kerajaan Pusat yang akan diketuai Ismail Sabri.
Katanya, semua parti di bawah gabungan itu sentiasa berbincang dan saling menekankan kerjasama serta komitmen memastikan apa yang berlaku di Semenanjung tidak akan berlaku di Sabah.
"Kami juga ada berbincang dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan kami semua sependapat supaya kerajaan GRS dipertahan," katanya.
Dalam pada itu, Jeffrey yang juga Ahli Parlimen Keningau, berkata kemelut politik yang berlaku di Kuala Lumpur diharap selesai dengan pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Kesembilan.
Beliau berkata, tumpuan selepas ini perlu diberikan sepenuhnya kepada isu dan masalah yang dihadapi sekarang iaitu pandemik COVID-19 dan kebajikan rakyat.
"Dalam masa sama, saya harap juga Kabinet baharu akan mengambil kira dan memberi tumpuan kepada isu Sabah dan Sarawak, hubungan negeri-Pusat, khususnya hak-hak kita dalam perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Selepas ini saya harap tiada lagi kemelut politik atau perebutan Perdana Menteri atau apa-apa saja, sehingga Parlimen dibubarkan untuk diserah kepada rakyat menentukan mandat baharu.
"Saya harap juga apa yang berlaku di Kuala Lumpur tidak tumpah dan melarat ke Sabah, sebab saya percaya dan yakin politik di Sabah stabil," katanya.
إرسال تعليق