Dulu peniaga tapak tamu, kini buka kedai bundle terbesar di pusat beli belah

Picture
Haris (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Clarence. Juga dilihat ialah Benjamin (kanan) dan Sylvia.
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)

Penjual bundle tapak tamu kini mendabik dada memiliki kedai bundle terbesar di ITCC

PENAMPANG: Peniaga tamu tempatan kini berjaya mengembangkan perniagaan sehingga 12 cawangan.


Haris Beddu Rahim berkata, dia tidak pernah menjangkakan perniagaan bundlenya akan berkembang sebesar itu.

Dia yang juga Pengasas kedai D' Bundle Mania berkata, dia memulakan perniagaan bundle bermula dari peringkat bawah dan secara sederhana.

"Dulu ketika saya menjual barang-barang di tamu tempatan, saya selalu bimbang dengan kenaikan sewa, walaupun hanya RM5 atau RM10.

"Saya pernah gagal beberapa kali ketika membuka kedai di Sabindo pada tahun 2015, namun perniagaan saya tiba-tiba berkembang dengan pesat.


"Dalam tempoh lima tahun, saya berjaya membuka 12 cawangan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dia kini telah membuka satu kedai baharu di Pusat Teknologi & Komersial Antarabangsa (ITCC) yang menjadi lokasi kedai bundle terbesar di Sabah.

Menurutnya, kedai itu bukan hanya menawarkan produk pakaian dan kasut sukan tetapi juga pakaian serta barangan lain seperti perabot, mainan kanak-kanak, barangan rumah, beg, basikal, sebagainya.

Picture
KENANGAN: Clarence (3 dari kanan), Haris (3 dari kiri), Benjamin (2 dari kanan) dan Sylvia (kanan) menunjukkan kasut sukan berkualiti tinggi yang ditawarkan di kedai berkenaan

"Kami juga telah membantu ratusan peniaga bundle, terutama semasa 'lockdown' di mana sebahagian daripada mereka kehilangan pekerjaan.

"Mereka berjaya memperoleh keuntungan dengan hanya modal RM300. Malah keuntungan mereka melebihi gaji bulanan mereka," katanya.

Haris berkata, sasarannya akan datang adalah untuk membuka lebih banyak cawangan di seluruh daerah di Sabah.


Sementara itu, Pengurus Besar ITCC Benjamin Malakun berkata, bahawa produk yang ditawarkan oleh kedai itu adalah barangan berkualiti tinggi dari luar negara seperti Jepun, England, Amerika Syarikat (AS) dan sebagaintya.

"Walaupun ia adalah barangan terpakai, namun ia berkualiti tinggi dan sangat tahan lama.

"Pengunjung boleh datang ke kedai ini dan memilih sendiri barang-barang yang mereka inginkan. Penjual juga boleh datang dan membeli barang dalam kuantiti yang besar," katanya.

Majlis pembukaan rasmi kedai D' Bundle Mania berkenaan disempurnakan oleh Pengerusi ITCC Datuk Seri Panglima Clarence Bongkos Malakun. Hadir sama, Pengarah Urusan ITCC, Datin Seri Panglima Sylvia Malakun.

SOURCE: Utusan Borneo

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم