SEHINGGA 40 Tanah Perkuburan Tionghua di Batu 5.5 Jalan Tuaran terjejas oleh tanah runtuh itu yang berlaku Selasa lepas.
KOTA KINABALU: Mereka yang sudah meninggal dunia turut tidak terkecuali dari bencana alam apabila antara 30 dan 40 kubur yang sesetengahnya berusia lebih satu abad di Tanah Perkuburan Tionghua di Batu 5.5 Jalan Tuaran, terjejas oleh tanah runtuh pada 21 September lalu.
Seorang jurucakap dari Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Kota Kinabalu (KKCCCI) ketika dihubungi Harian Ekspres pada Jumaat berkata hujan berterusan Selasa lepas mencetuskan kejadian tanah runtuh itu.
“Kira-kira 30 – 40 kubur yang terletak di kawasan cerun dengan ketinggian kira-kira 100 meter terjejas dan ini bukan kali pertama perkara seumpamanya berlaku.
“Pada 27 Julai, sebanyak 10 kubur terjejas tanah runtuh dikawasan bertentangan dengan tempat kejadian terkini itu.
“Saya boleh katakan, walaupun ini sudah berlaku banyak kali, kali ini adalah yang paling teruk,” katanya.
Jurucakap itu menggesa waris mereka yang disemadikan di sana agar menghubungi sekretariat Dewan itu di talian 088-252312 / 255470 atau emel secretariat@gmail.com untuk membincangkan kerja-kerja pemulihan.
“Kami tidak ada rekod waris dengan kami dan tidak pasti di mana mereka berada kerana tanah perkuburan itu sudah berusia lebih satu abad.
“Pada waktu itu, tiada sistem nombor tidak digunakan di tanah perkuburan dan menyukarkan kami untuk membuat pengenalpastian.
“Apa yang kami dapat lakukan sekarang ialah menunggu waris menghubungi kami dan kami juga akan meminta mereka mengambil gambar kubur yang terjejas dan kami akan cuba menyemak satu persatu dalam apa sahaja rekod yang kami ada dari masa itu,” katanya.
Menurut jurucakap itu, mereka yang dikebumikan di sana disemadikan bertahun-tahun yang lalu dan sesetengahnya mungkin pada tahun 80-an atau 90-an.
Kepada satu soalan, beliau berkata mungkin masih ada tulang-temulang atau mungkin tiada apa lagi yang tinggal.
“Kami tidak boleh menyentuh atau melakukan apa-apa kepada tanah perkuburan itu ketika ini kerana perkara itu sensitif bagi kaum Tionghua.
“Orang luar juga tidak dibenarkan menyentuh dan kami hanya memerhatikan buat masa ini sehingga waris mereka datang untuk upacara sembahyang bagi ahli keluarga mereka yang disemadikan di sini,” katanya.
Jurucakap itu memberitahu tanah runtuh besar kemungkinan berlaku di tanah perkuburan lama itu kerana pada masa lalu tiada sistem untuk meletakkan kubur.
“Pada masa lalu, tiada peparitan yang sempurna dan ini juga boleh menjadi salah satu sebab,” katanya. – DE
SOURCE: Daily Ekspress Via Warta Oriental
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق