Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun |
Kebenaran ini hanya diberikan kepada pelancong, pengusaha pelancongan serta pekerja yang sudah menerima vaksin lengkap dan berstatus risiko rendah COVID-19 dalam aplikasi MySejahtera
KOTA KINABALU: Aktiviti pelancongan di Sabah kini dibenarkan dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, kebenaran itu diberikan kepada semua destinasi dan tapak pelancongan beroperasi bagi pelancong domestik untuk daerah yang sama sahaja.
"Kebenaran ini termasuk pelancongan bagi destinasi yang dibenarkan melakukan gelembung perjalanan (travel bubble) daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (COVID-19).
"Kebenaran ini hanya diberikan kepada pelancong, pengusaha pelancongan serta pekerja yang sudah menerima vaksin lengkap dan berstatus risiko rendah COVID-19 dalam aplikasi MySejahtera," katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau berkata, operasi hotel dan penginapan juga masih dibenarkan seperti dinyatakan sebelum ini untuk pelanggan dalam daerah yang sama dengan syarat pelanggan dan pekerja hotel atau homestay (inap desa) telah lengkap divaksin.
“Bagaimanapun penggunaan kemudahan penginapan seperti gimnasium, sauna, jakuzi dan bilik seminar masih tidak dibenarkan.
"Ketika ini, Sabah satu-satunya negeri dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) belum membenarkan aktiviti pelancongan," katanya.
Dalam pada itu, Sabah pada 10 September 2021 merekodkan satu kluster baharu melibatkan tempat kerja.
Katanya, Kluster Sawit Perpaduan, Kinabatangan berlaku di tempat kerja iaitu ladang sawit di Mukim Sukau, Kinabatangan. Kes indeks merupakan pekerja kilang, lelaki, 34, warganegara Indonesia yang dikesan melalui ujian saringan RTK-AG di Hospital Kinabatangan pada 30 Ogos 2021.
"Dalam saringan itu, kes indeks disahkan positif COVID-19 dengan grading 100 peratus selepas bergejala sejak 26 Ogos 2021.
"Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 90 orang kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut dijangkiti COVID-19," katanya.
SOURCE: Utusan Borneo
Kongsikan artikel ini:
إرسال تعليق