Mangsa ditemui dalam keadaan tidak bermaya selepas hilang sejak 5 hari lalu. |
KOTA BELUD: Wanita warga emas berusia 86 tahun dari Kampung Kalibungan Rosok, di sini, yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu, di ditemui selamat, hari ini.
Mangsa, Tianun Padis, ditemui oleh pasangan suami isteri di Kampung Ginapas, di sini, ketika sedang dalam perjalanan menaiki kenderaan ke Hospital Kota Belud.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, ketika ditemui, mangsa dilaporkan berada keadaan kepenatan dan hanya mengalami kecederaan ringan.
Katanya, pasangan terbabit yang mengenali mangsa terus mengambil warga emas terbabit sebelum dihantar balik ke rumahnya.
“Jarak mangsa ditemui ialah kira-kira 1.24 kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK). Mangsa ditemui dalam keadaan kepenatan dan mengalami kecederaan ringan.
“Mangsa berada dalam keadaan selamat dan sedang menerima rawatan di Hospital Kota Belud,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Sahimi berkata, berikutan penemuan warga emas terbabit, pusat kawalan operasi ditutup dengan rasminya pada jam 9.30 pagi, hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas memberi makan kepada ternakan ayam dan kucing yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.
Operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan pihak berkuasa sehingga empat hari membabitkan keluasan kawasan pencarian sehingga mencecah empat kilometer persegi. – Asiatimes
SOURCE: AsiaTimes
Kongsikan artikel ini:
إرسال تعليق