Sabah peroleh RM580 juta, hasil jualan minyak mentah

A picture of a young Vladimir Cheskidov.
PENGGULUNGAN: Masidi semasa membaca ucapan penggulungan Kementerian Kewangan sidang DUN Sabah.
(📸 ©utusanborneo.com.my)
klik 👉 Follow Telegram SabahUp2date (large-bt)

Sabah kutip jualan minyak mentah RM580 juta

KOTA KINABALU: Sabah berjaya mengutip hasil jualan terkumpul minyak mentah sebanyak RM580 juta melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) setakat ini.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, hasil terkumpul itu diperoleh sejak SMJE berjaya menyelesaikan proses pengambilalihan 50 peratus penyertaan SMJE dalam PSC Samarang yang dimuktamadkan melalui Perjanjian Farm Out pada 5 April 2023.

Katanya, penyelesaian pengambilalihan sejak 31 Mei tahun lalu membolehkan Sabah menjual hak minyak mentahnya di Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT) kepada pembeli minyak mentah antarabangsa untuk sejumlah empat kargo setakat ini yang berjumlah RM580 juta.

Menurutnya, Sabah akan terus mendapat manfaat daripada penglibatannya dalam sektor minyak dan gas melalui Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang dimeterai bersama PETRONAS pada 7 Disember 2021.

"Selaras dengan CCA, SMJE bertindak sebagai pelabur kewangan yang berhemah dengan memberi tumpuan kepada penghasilan aset minyak dan gas merentas sektor huluan, gas cecair asli (LNG) dan hilir/petrokimia.

"SMJE juga mempunyai pegangan saham 25 peratus berdaftar Loji Petrokimia Ammonia Urea (SAMUR) Sabah di Sipitang sejak 6 Jun tahun lalu. Sejak pengambilalihan itu, SMJE menerima pendapatan bersih sebanyak RM 53 juta.

“Pada 25 Oktober 2023, SMJE memperoleh 10 peratus kepentingan penyertaan dalam Petronas LNG9 (PLNG9) melalui pengambilalihan Sabah International Petroleum (SIP). Sabah menerima pembayaran tunai sebanyak RM343 juta daripada PLNG9 pada 2023," katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Kewangan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Beliau berkata, SMJE turut menerima RM112 juta lagi dividen daripada PLNG9 sejak awal tahun ini dan menjangkakan dividen yang sihat pada tahun-tahun akan datang.

Masidi berkata, dalam meningkatkan hasil negeri, kementeriannya akan mengenakan cukai kepada lapan produk termasuk dua produk baharu iaitu pasir silika dan biojisim kelapa sawit.

Selain itu katanya, royalti emas juga dicadang untuk ditingkatkan daripada lima peratus kepada 10 peratus dan ia akan dikenakan apabila emas berkenaan dileburkan dan bukan semasa dijual.

SOURCE: utusanborneo.com.my oleh Siti Aisyah Narudin

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date



Post a Comment

أحدث أقدم