'Syok sendiri' demi kepuasan
TATKALA penyanyi lain memburu tapak kukuh dalam industri muzik arus perdana, Velvet Aduk selesa mengatur kerjayanya dengan rentak sendiri. Pengurusannya kecil tapi sentiasa bergerak.Baginya, berkarya mengikut cita rasa peribadinya ternyata jauh lebih menyeronokkan. Dia juga tidak kisah keluarkan wang sendiri dalam pembikinan lagu mahupun muzik video.
"Memang banyak juga ajakan atau pertanyaan kenapa saya tak buat 'comeback' dalam arus perdana. Ia termasuk cuba naikkan nama semula dengan menyertai program popular.
"Ia sebenarnya agak memudahkan corak berkarya saya. Saya buat apa yang memang kena di hati, laburkan wang sendiri, dan tidak perlu ikut cita rasa orang lain," kata penyanyi kelahiran Penampang, Sabah itu.
Nekad berpangkalan di negeri kelahiran sendiri, Velvet juga selesa jalani kehidupan sederhana. Dia seronok segala hal lengkapi hidupnya termasuk berkeluarga, kerjaya sebagai penyampai di Sabah.
Menurutnya, tiada apa yang dia perlu dikejar lagi kerana banyak sisi hidupnya dikira sudah cukup sempurna. Dia mahukan perkara itu berkekalan tanpa perlu anjakan besar atau pembaharuan drastik.
"Pada tahap ini, apa saja yang saya usahakan adalah pada kadar sederhana. Termasuk juga kemunculan persembahan, penghasilan lagu, dan fokus kepada apa yang berharga depan mata.
"Saya masih lagi bekerja makan gaji demi mengukuhkan ekonomi sendiri. Bukan sekadar bergantung kepada tawaran-tawaran berkaitan muzik semata-mata," katanya.
Namun, Velvet mengambil keputusan besar mengadakan showcase di Kuala Lumpur, tempoh hari. Istimewanya, acara itu berlangsung sangat intim sekitar 200 penonton.
Bertempat di Jao Tim, menurutnya dia juga sebenarnya terkejut dengan sambutan itu. Jika ikutkan, dia tidak melakukan promosi besar-besaran pun mengenai showcase terbabit. "Saya sangat terharu apabila agak ramai juga hadir. Padahal, saya taklah uar-uarkan sangat kerana saya pun enggan mengharap ramai akan hadir. Cukuplah saya rasa puas dapat hiburkan yang ada.
"Melihat wajah-wajah sahabat rapat dan yang dikenali pun sudah memadai. Saya juga cukup tersentuh bila mendapat maklum balas yang cukup baik daripada hadirin ketika itu.
"Paling menyentuh, rakan sekerja dan majikan saya sanggup terbang dari Sabah memberi kejutan kepada saya di acara itu. Tambah semangatlah saya berikan persembahan mantap," katanya.
"Saya sentiasa terbuka mengadakan persembahan di mana-mana pun. Tempoh hari pun saya berpeluang mendekati peminat sewaktu jayakan sebuah persembahan di negeri itu.
"Memang sekarang lebih banyak fokus di negeri sendiri tapi saya akan terus meneroka peluang di lokasi berbeza. Saya suka melihat corak penerimaan peminat di setiap tempat khususnya lokasi baharu," katanya.
Dalam pada itu, Velvet masih lagi rancak mempromosi album inggerisnya yang dilancarkan pada hujung tahun lalu. Berjudul Darkest Knight, album terbabit sangat peribadi untuknya.
"Album itu saya hasilkan sepenuh jiwa raga. Saya sudah tidak fikir pasal lagu itu akan pergi jauh asalkan dapat keluarkan segala isi hati menerusi lagu-lagu itu. Lagipun, memang sudah lama saya idamkan album inggeris," katanya.
SOURCE: Penulisan Georgie Joseph di Harian Metro Disiarkan pada: April 29, 2024 @ 6:00am
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
إرسال تعليق