El Hadji Diouf tidak mahu dianggap Superstar di Sabah

SAYA BUKAN ‘SUPERSTAR’

S
aya bukan faktor kekuatan Sabah, saya perlu kamu…saya ahli keluarga anda semua sekarang, tanpa kamu saya ‘kosong’,” kata penyerang import baharu Sabah, El Hadji Diouf ketika kali pertama bertemu dengan rakan sepasukan, baru-baru ini.

Bekas penyerang Liverpool berusia 33 tahun itu berkata, dia tidak mahu dianggap sebagai ‘superstar’ namun bertekad mahu membantu Sabah Rhinos mencipta kejayaan dalam Liga Malaysia, musim depan.


“Saya datang ke sini bukan sebagai ‘superstar’, saya datang ke sini untuk menunjukkan kepada seluruh dunia di mana Sabah berada.

“Saya juga pernah menghadapi saat sukar ketika bersama skuad kebangsaan Senegal suatu ketika dulu, kami melalui perlawanan yang getir tetapi akhirnya layak beraksi di Piala Dunia dan mencipta kejayaan membanggakan.

“Walaupun hanya negara kecil, pasukan bola sepak kami tidak pernah putus asa… kami terus berjuang sehinggalah impian mencipta kejutan di Piala Dunia tercapai,” katanya.

Diouf berkata, sokongan daripada rakan sepasukan sangat penting untuk mencapai sasaran Sabah Rhinos musim depan.

“Tanpa bantuan anda, saya hanya ‘kosong’… pintu saya sentiasa terbuka sekiranya kamu ingin berbincang mengenai apa saja,” katanya yang turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan serta Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Rhino, Datuk TC Goh kerana memberi kepercayaan kepadanya.


Selain Datuk TC Goh, turut hadir pada majlis tertutup itu ialah Pengurus Besar merangkap Pengurus Sabah Rhinos, George O’Gallaghan, Penolong Pengurus, Rahman Zakaria dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Alijus Sipil.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.