KETUA pasukan Sabah Rhinos, El Hadji Diouf ingin melihat Stadium Likas sekali lagi dibanjiri penyokong apabila dia dan rakan sepasukan turun menentang Kuala Lumpur, malam esok.

“Kita sangat perlukan penyokong kita pada ketika ini, Isnin lalu kehadiran tidak begitu memberangsangkan dan mungkin jika jumlah penyokong yang hadir lebih 20,000 ketika bertemu Negeri Sembilan, kita menang perlawanan itu.
“Apapun perkara itu sudah berlalu dan saya teringin sangat melihat Stadium Likas kembali dibanjiri penyokong…saya minta penyokong datang memberi kita semangat seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan pasukan, petang tadi.

Bekas pemain terbaik Afrika itu turut mengakui penyokong Sabah telah memainkan peranan yang sangat penting buat pasukan musim ini.

“Kebanyakan perlawanan yang kita menang adalah disebabkan mereka (penyokong)…kita tidak pernah lupa tentang itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah Rhinos, Mike Mulvey menyifatkan penyokong Sabah antara yang terbaik beliau pernah lihat.

“Penyokong terbaik yang saya pernah lihat di Malaysia ketika ini ialah orang-orang Sabah kerana mereka memberi kita sokongan penuh tidak kira di mana pun pasukan beraksi.

“Saya sedikit terkejut apabila hanya kira-kira 3,500 penyokong yang hadir pada perlawanan Isnin lalu namun saya percaya ia disebabkan situasi di luar kawalan kita.

“Perlawanan itu berlangsung pada hari Isnin dan juga pada bulan Ramadan…kita faham dengan itu tapi saya percaya kita akan ada lebih ramai penyokong pada malam esok memandangkan hujung minggu minggu menyusul,” katanya.

Mulvey berkata, kehadiran penyokong yang ramai pastinya akan menyuntik semangat tambahan buat pemain untuk memberikan aksi terbaik di atas padang.

“Pada akhirnya, penyokong adalah pemain ke-12…saya harap penyokong datang beramai-ramai malam esok kerana semua yang kita lakukan ketika ini adalah untuk mereka,” katanya.

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date