Kerajaan Negeri Sabah pada Jumaat mengumumkan bantuan khas sebanyak RM500 untuk semua anggota perkhidmatan awam negeri ini.

KOTA KINABALU, 25 Jun - Kerajaan Negeri Sabah hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 16,547 pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam Negeri Gred 54 dan ke bawah.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata pemberian bantuan khas itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM8.28 juta.

Beliau berkata pemberian bantuan khas itu membuktikan keprihatinan kerajaan negeri dan sejajar dengan pengumuman kerajaan persekutuan baru-baru ini yang turut memberikan bantuan khas RM500.

"Ini sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri ke atas khidmat bakti penjawat awam di negeri ini, dan diharapkan dapat membakar semangat mereka agar terus berkhidmat serta berbakti dengan lebih berdedikasi, amanah sekali gus berintegriti untuk meningkatkan prestasi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota perkhidmatan awam di negeri ini," katanya.

Beliau berkata bantuan itu diharap dapat membantu penjawat awam di negeri ini untuk membuat persiapan awal menyambut Aidilfitri.


Musa berkata bantuan itu akan dibayar pada 10 Julai ini serentak dengan pembayaran gaji bulan Julai.

-Rakyat News

Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, and Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date