Gempa Sabah: Malim Gunung Kinabalu Tarik Perhatian Dunia
Peranan dan pengorbanan malim gunung dalam menyelamatkan pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini menarik perhatian masyarakat dunia.
Kisah keberanian dan susah payah mereka ketika menyelamatkan pendaki terbabit kini tersebar dengan meluas melalui media tempatan dan asing.Ramai pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu memuji kemahiran dan ketangkasan wira berkenaan dalam menyelamatkan mereka selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada 7.15 pagi Jumaat, yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu.
Agensi berita saluran TV Singapura, Channel News Asia (CNA) dalam laporannya menyifatkan malim Gunung Kinabalu sebagai wira yang perlu diberi sanjungan.
"Malim gunung adalah wira sejati. Mereka menggadai nyawa dan membuat keputusan rumit, yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa kami," katanya.
Cable News Network (CNN) pula melaporkan bahawa para malim gunung muncul sebagai wira dalam menyelamatkan mereka yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi itu.
Pendaki tempatan, Nurul Hani Ideris, 29, memberitahu CNN: "Para malim gunung itu nampaknya tahu setiap inci kawasan dan berjaya membuka ruang melalui landskap yang musnah teruk, dengan memotong dahan serta mengikat tali untuk mewujudkan laluan baharu".
Lynn Siang, seorang jurucakap agensi pelancongan, menyifatkan para malim gunung berkenaan sebagai wira kerana telah melaksanakan tugas penting dalam usaha menyelamat di laluan yang terhalang oleh bungkahan batu melalui penggunaan tali.
"Apabila pendaki selesai melintas tali itu, mereka akan memijak bahu malim gunung yang menjadikan tubuh mereka sebagai kusyen," katanya kepada CNN.
SEBAHAGIAN daripada 30 jurupandu Gunung Kinabalu menyertai misi menyelamat pendaki-pendaki yang terkandas di puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu di sini akibat gempa bumi di Sabah.
Setakat ini, gempa bumi itu disahkan meragut nyawa 13 pendaki, termasuk seorang malim gunung bernama Robbi Sapinggi, manakala sekurang-kurangnya enam lagi masih belum dapat dikesan. - Bernama
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment