Anak 14 bulan diculik 90 minit bersama kereta ditemui selamat

Kickbola.net Bayi 14 bulan dilarikan bersama kereta ditemui selamat
Bayi 14 bulan dilarikan bersama kereta ditemui selamat

Kealpaan seorang bapa menyebabkan dia dan isteri menempuh detik cemas apabila anak perempuan berusia 14 bulan hilang selama 90 minit selepas keretanya dilarikan di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini, malam kelmarin

KUALA LUMPUR: Seorang bayi berusia 14 bulan yang dilaporkan hilang selepas kereta milik keluarganya dilarikan seorang individu di sebuah pusat membeli-belah di Subang Jaya, Selangor pada Sabtu malam ditemui selamat di sebuah stesen minyak di Glenmarie, Shah Alam beberapa jam selepas kejadian.


Dalam insiden yang berlaku sekitar jam 10.30 malam di hadapan sebuah pusat beli belah yang terletak di kawasan SS16 itu, bapa kepada bayi tersebut keluar dari kenderaannya untuk memanggil isterinya sebelum ternampak seorang lelaki memasuki kereta dan melarikan keretanya.

Satu laporan polis dibuat oleh ibu bapa bayi sejurus selepas kejadian tersebut pada kira-kira jam 10.58 malam tadi.

Abang kepada ibu bayi berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Niezam Petrelli berkata, suspek dipercayai berusia dalam linkungan 20-an.

Sejurus adiknya memaklumkan mengenai kejadian itu, Niezam memuat naik maklumat tentang kehilangan anak buahnya dengan gambar-gambar bayi tersebut di laman sosial.

Sumber Foto: Facebook Niezam Petrelli

Menurut Niezam, suspek telah meninggalkan bayi itu di sebuah stesen minyak sebelum ditemui oleh salah seorang pekerja di stesen itu.

"Pekerja yang bertugas pada malam tadi terdengar suara bayi menangis sebelum beliau menghubungi pihak polis untuk memaklumkan perkara itu," kata Niezam.

Memetik posting dari Facebook SJ Echo, OCPD ACP Yahaya Ramli mengesahkan bayi berkenaan dijumpai di stesen minyak di Glenmarie dan berada di bawah jagaan polis Bukit Jelutong, Shah Alam sebelum dipulangkan ke pangkuan keluarganya.


Pekerja stesen minyak yang menemui bayi tersebut. - Sumber Foto: Facebook Niezam Petrelli

Niezam berkata, adiknya yang kini mengandung tiga bulan berasa sedikit trauma namun ahli keluarga mereka bersyukur kerana bayi itu selamat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu serta mereka yang menyebarkan info sehingga terjumpanya anak buah saya,” katanya.

Beliau berharap tiada andaian dan tuduhan melulu dilemparkan kepada keluarganya dan menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berada dalam keadaan berhati-hati pada setiap masa.

Sehingga artikel ditulis, kereta MyVi dengan nombor pendaftaran WVD 1739 yang dilarikan masih belum ditemui.

Pengguna media sosial yang peka dengan berita kehilangan itu turut bertindak dengan berkongsi maklumat dan gambar bayi tersebut di laman sosial mereka.








Post a Comment

Previous Post Next Post