Bumbung Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT) Tercabut & Diterbangkan Angin

Kickbola.net
Bumbung Sebuah Sekolah Swasta Di Tamparuli Tercabut, Diterbangkan Angin - Hari ini SASS Tamparuli mengalami kerosakkan akibat ribut.
Bumbung Sebuah Sekolah Swasta Di Tamparuli Tercabut, Diterbangkan Angin

TAMPARULI, 4 Julai -- Bumbung bangunan di Sekolah Menengah Advent Tamparuli (SMAT)  telah tercabut dan diterbangkan angin kencang yang melanda Sabah khususnya di kawasan pantai barat awal pagi tadi.

Pegawai Daerah Tuaran Abdul Mohd Ibnu Abdul Kadir Baba berkata selain sekolah, bumbung kediaman penduduk kampung juga turut mengalami kerosakan sama.






AHLI Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau (kiri) meninjau keadaan SM Advent Tamparuli yang rosak akibat ribut kencang. - Foto Johary Indan


Bagaimanapun, pihaknya, masih belum dapat mengenal pasti jumlah sebenar kerosakan yang berlaku.

"Urus setia bencana daerah sedang berjaga-jaga dan mengawasi situasi ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Sabtu.


Angin kencang dan ribut telah melanda Sabah sejak semalam kesan daripada tempias ribut tropika kuat LINFA yang membadai kawasan Luzon, Filipina dan bergerak ke arah Barat Laut menghampiri perairan negeri ini termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Abdul Mohd Ibnu berkata setakat ini, masih belum ada keperluan untuk memindahkan penduduk kampung yang terjejas ke pusat pemindahan sementara.

Di KUDAT, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri sempat meluangkan masa meninjau beberapa deretan kedai berhampiran jeti di Pulau Banggi yang turut terkesan akibat angin kencang itu, selepas menyampaikan sumbangan kepada golongan fakir miskin dan anggota tentera yang bertugas di Kem Karakit.

Abdul Rahim, yang juga Anggota Parlimen Kudat menyaksikan sendiri keadaan bumbung kedai terbabit yang tercabut diterbangkan angin kencang.

Di KOTA BELUD, Pegawai Daerah Abd Gari Itam berkata pihaknya masih belum menerima laporan rasmi mengenai kerosakan harta benda, meskipun terdapat gambar pokok dan tiang lampu tumbang serta bumbung rumah diterbangkan angin dipercayai berlaku di daerah itu, di muat naik dalam media sosial.

"Saya percaya terdapat kerosakan berlaku di daerah ini kerana daripada apa yang saya lihat sewaktu dalam perjalanan balik ke Kota Belud tadi, terdapat banyak pokok dan tiang lampu tumbang di sepanjang jalan," katanya.

Abd Gari berkata anggaran kerosakan masih belum dapat dikenal pasti.

-- BERNAMA

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.