Kanak-kanak perempuan diterbangkan Angin Ribut di Kg Dungang Tuaran ditemui Selamat!

Kickbola.net
kanak-kanak perempuan diterbangkan Angin Ribut di Kg Dungang Tuaran ditemui Selamat!
Bayi diterbangkan angin ketika ribut di Tuaran

Seorang kanak-kanak perempuan berumur 1 tahun 6 bulan diterbangkan bersama bumbung rumah mereka berhampiran Kg Dungang Tuaran ditemui Selamat!

Kanak-kanak tersebut di temui dalam keadaan selamat di kawasan sawah kira-kira hampir sejam kemudian.

kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Hospital Tuaran untuk pemeriksaan dan didapati peha kanan mengalami keretakan dan kini dirawat di Hospital Likas.


Percaya atau tidak anak pemilik rumah ni turut diterbangkan angin,beserta bumbung rumah...

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.50 malam itu, dimana Kanak-kanak yang diterbangkan bersama atap rumah ditemui dikawasan sawah padi berhampiran rumah Pn Rita Patimamat pada jam 12.15 malam.

Jiran terdekat ialah Pengerusi JKKK Kg Dungang, Pn Rinting Banawa. Anak lelaki Pn Rinting, Hermady Jess Tunai membantu untuk menghantar Pn Nurhayba & anak perempuannya yang cedera ke Hospital Tuaran.

Hasil pemeriksaan X-ray keatas peha sebelah kanan adik Nurhasyikin Bt Jainudin, umur 1 tahun 6 bulan didapati patah dan sekarang sedang dirawat di Wad Kenanga 5, Hospital Likas. (tingkat 6)

Berita Akhbar :-

Tuaran: Seorang bayi diterbangkan angin dalam kejadian angin ribut di Kampung Dungang, Tuaran awal pagi tadi. 

Pegawai Daerah Tuaran, Abdul Mohd Ibnu Abdul Kadir Baba, berkata ia berlaku ketika buaian bayi itu yang diikat pada alang bumbung rumah diterbangkan angin bersama bumbung rumah berkenaan.

"Ketika itu bayi itu sedang tidur di dalam buaian. 

Apabila bumbung rumah itu tercabut kerana diterbangkan angin, buaian dan bayi itu turut sama diterbangkan angin," katanya.

Bayi itu kemudian ditemui di kawasan sawah padi berhampiran.


Abdul Mohd Ibnu berkata, bayi itu kini dirawat di Hospital Tuaran kerana dia dipercayai patah kaki. "Dia berada dalam keadaan stabil," katanya. - BERNAMA




Nurhasyikin fobia hujan, angin


Tujuh bulan berlalu, namun Nurhasyikin Jainudin, yang pernah diterbangkan ribut fobia apabila mendengar bunyi hujan dan angin.

Kanak-kanak itu yang kini sudah berusia dua tahun seolah-olah mengerti peristiwa yang hampir meragut nyawanya ketika itu dan kini enggan tidur di dalam buaian seperti sebelum kejadian.

Nurhasyikin diterbangkan angin kencang bersama buaiannya yang ketika itu diikat pada alang bumbung rumah ketika ribut melanda Kampung Dungang, dekat sini, pada tengah malam 4 Julai tahun lalu.

Berusia 18 bulan ketika kejadian, Nurhasyikin atau panggilan manjanya Ekin, hanya ditemui setengah jam kemudian oleh ibunya bersama penduduk kampung dalam keadaan tertiarap serta diselaputi lumpur sambil menangis di tengah sawah, kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Ibunya, Nurhayba Nasip, 26, berkata sejak kejadian itu, anaknya yang patah paha kanan dan luka di bahagian anggota badan lain akibat kejadian itu tidak lagi mahu tidur dalam buaian, malah menangis setiap kali melihat buaian dalam rumah.

NURHASYIKIN masih trauma dan enggan tidur dalam buaian lagi.

RUMAH milik Jainudin Hasim, yang telah dibaiki selepas kejadian angin ribut 4 Julai 2015, di Kampung Dungang, Tuaran.

"Sebaik pulang ke rumah selepas seminggu dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, saya pernah cuba menidurkan Ekin dalam buaian, namun dia menangis dan meronta-ronta untuk keluar.

"Rasa takut susulan kejadian diterbangkan ribut masih berlarutan sehingga kini dan sejak itu dia hanya tidur di atas tilam bersama kami dan abangnya dalam bilik.

"Selain tidak mahu tidur dalam buaian, Ekin selalu ketakutan apabila hujan dan keadaan cuaca berangin," katanya kepada BH ketika ditemui di rumahnya di Kampung Dungang, kira-kira lima kilometer dari pekan Tuaran.

Ribut dan hujan lebat di daerah ini serta beberapa kawasan di Sabah ketika kejadian itu disebabkan susulan ribut tropika `linfa' yang melanda Luzon, Filipina, menyebabkan banyak sekolah serta rumah penduduk mengalami kerosakan.

Nurhayba berkata, Ekin seakan mengerti tragedi pernah menimpanya kerana setiap kali beliau dan suami bertanya mengenai kejadian itu, anak bongsu daripada dua beradik terbabit pasti menunjukkan paha kanannya yang kini sudah sembuh serta bumbung rumah.

Mengimbas lagi kejadian itu, Nurhayba berkata, dia bersama suami dan dua anak tidur dalam bilik sebelum mereka terjaga apabila terdengar bunyi ribut yang kuat dan bumbung seperti mahu tercabut.

NURHASYIKIN sudah sihat sepenuhnya tetapi masih trauma terhadap hujan dan angin.

"Menyedari rumah dipukul ribut, saya minta suami memeluk anak sulong, Muhamad Jaein, 6, dan saya pula mahu mendapatkan Ekin yang tidur dalam buaian.

"Namun, tiba-tiba bumbung rumah diterbangkan angin bersama buaian yang diikat pada alang bumbung itu.

"Kami panik dan saya sangka Ekin mungkin sudah kena hempap bumbung sebelum minta bantuan penduduk kampung mencarinya. Kami semua menangis termasuk abang Ekin yang ikut bersama ketika mencari di sawah padi.

"Syukur dia ditemui selamat, sebaik jumpa abangnya peluk dan mencium Ekin sebelum dia dikejarkan ke hospital," katanya.

Bapa Ekin, Jainudin Hasim, 24, berkata Ekin tidak banyak ragam dan aktif walaupun ketika baru keluar daripada hospital dengan keadaan paha masih bersimen menyebabkan kecederaan dialaminya agak lambat pulih.

"Kini, doktor mengesahkan Ekin pulih sepenuhnya dan boleh melakukan rutin seperti kanak-kanak lain," katanya yang berterima kasih kepada pelbagai pihak kerana membantu membaik pulih kerosakan rumahnya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.