Pekerja estet dipenjara cederakan orang utan
BELURAN: Pekerja estet warga Indonesia dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Sandakan di sini kerana mencederakan seekor orang utan jantan menggunakan parang di Gedau, Long Manis, Beluran pada 13 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, William Baya dalam kenyataan berkata, Syam Bin Sul, 38, didakwa mengikut Seksyen 37 Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya kerana menyebabkan kecederaan kepada haiwan yang dilindungi.“Adalah malang kerana pelaku memilih mencederakan orang utan apabila beliau dengan mudah dapat melarikan diri jika benar haiwan itu mengejarnya.
“Hukuman yang diputuskan oleh mahkamah itu harus dijadikan pengajaran kepada individu lain sekiranya mereka mencederakan haiwan yang dilindungi, lebih-lebih lagi spesies yang dilindungi sepenuhnya.
Sementara itu, William berkata, orang utan itu yang mengalami luka dalam dan luka dikelar masih memerlukan penjagaan rapi, mungkin untuk tempoh beberapa minggu akan datang.
“Kami berharap sebaik semua masalah itu diselesaikan, kami dapat menghantarnya kembali ke tempat asalnya,” katanya.
Untuk mengelakkan kejadian itu pada masa depan, William juga menasihatkan semua pemilik dan pengurus ladang untuk memaklumkan jabatan itu jika mereka mendapati mana-mana haiwan yang dilindungi berkeliaran di ladang mereka. – Bernama
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment