Remaja ditemui mati lemas di Pantai Tanjung Aru - Anggota Bomba mengusung mayat remaja perempuan yang lemas di Pantai Tanjung Aru.
TANJUNG ARU, 14 JULAI – Pasukan mencari dan menyelamat menemui mayat seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun, pada jam 4.50 petang tadi selepas dilaporkan hilang ketika mandi laut di Pantai Tanjung Aru di sini semalam.
Mayat mangsa ditemui oleh pasukan penyelamat di Pantai Tanjung Aru 3, berhampiran lapangan terbang kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.Mangsa dikenali sebagai Dayang Tiara binti Norman seorang pelajar berasal dari Kampung Sembulan Baru di sini.
Dalam kejadian semalam, mangsa yang sedang mandi laut bersama tujuh orang lagi rakannya secara tiba-tiba menjerit meminta tolong kerana dihanyutkan arus deras.
Rakannya cuba membantu dengan menarik mangsa namun gagal, sebelum mangsa hilang dari pandangan mereka dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang semalam.
“Mayat di bawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Pelajar 14 tahun dikhuatiri lemas di Pantai Tanjung Aru
TANJUNG ARU, 14 JULAI – Seorang remaja perempuan berumur 14 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan arus deras ketika mangsa bersama tujuh orang rakannya mandi laut di pantai Tanjung Aru di sini semalam.Setakat jam 3.50 petang Isnin, pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada anggota Polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) masih gagal menemui mangsa yang dilaporkan hilang sejak 6.35 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra berkata, siasatan awal polis mendapati mangsa yang juga seorang pelajar bersama tujuh orang lagi rakannya telah pergi ke pantai tersebut semalam untuk tujuan berkelah sambil mandi laut.
“Ketika mereka bermandi-manda, tiba-tiba mangsa menjerit meminta pertolongan selepas dihanyutkan arus deras dan cuba diselamatkan oleh rakannya yang lain namun gagal sebelum mangsa hilang daripada pandangan mereka,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner M.Chandra (kanan) turut bersama-sama ibu mangsa semasa di lokasi kejadian.
Menurutnya, rakan mangsa kemudian segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk memaklumkan mengenai kejadian itu dan meminta bantuan. Mangsa dikenali sebagai Dayang Tiara binti Norman seorang pelajar berasal dari Kampung Sembulan Baru di sini.
Gerakan mencari dan menyelamat mangsa telah dijalankan sejak semalam oleh pasukan penyelamat namun dihentikan pada jam 10.15 malam tadi sebelum disambung semula pagi hari ini di kawasan pencarian 1.5 batu nautika dari persisir pantai di tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Setakat ini belum ada perkembangan berkaitan penemuan mangsa dan usaha mencari mangsa masih diteruskan,” kata Chandra sambil menambah polis turut membuka Pusat Kawalan Tempat Kejadian di lokasi kejadian bagi memantau operasi berkenaan.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment