Saya Tidak Akan Khianat Rakyat Dan Harta Benda Negara - Najib Razak

Kickbola.net
Saya Tidak Akan Khianat Rakyat Dan Harta Benda Negara - Najib. PM Najib Razak has consulted his lawyers for legal action to be taken against WSJ. He has labelled the allegations as “malicious claims” (dakwaan jahat).
Saya Tidak Akan Khianat Rakyat Dan Harta Benda Negara - Najib Razak

SEMENYIH, 5 Julai (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan beliau selaku perdana menteri yang dipilih rakyat tidak akan sesekali mengkhianati rakyat dan harta benda negara ini.

Beliau berkata pihaknya tidak akan membenarkan anasir luar untuk menggugat dan menjatuhkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat, sesuka hati mereka.

"Ini merupakan janji saya," katanya ketika berucap pada majlis Iftar Rakyat Negeri Selangor Bersama Perdana Menteri di Masjid Bandar Rinching di sini Ahad.

Najib berkata beliau telah menjadi mangsa serangan di media sosial bertubi-tubi kebelakangan ini termasuk menuduhnya 'songlap' sejumlah wang ke dalam akaun peribadinya.

"Sehari dua ini, mereka telah membawa macam-macam berita. Saya telah menjadi mangsa kepada serangan mereka secara bertubi-tubi kononnya saya songlap duit yang besar.

"Saya berterima kasih kerana ramai juga menyatakan bahawa mereka tidak percaya (songlap duit)," katanya.

Najib juga berkata pembangkang telah menggunakan media sosial memainkan isu bagi mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin BN.

Beliau berkata media sosial kini bukan lagi mencari kebenaran tetapi membawa berita terkini tanpa mengira ketepatan dan kesahihan laporan yang disiarkan.

"Matlamatnya bukan untuk mendedahkan kebenaran tetapi untuk mengubah persepsi rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin.

"Ini bukan untuk membina akal budi rakyat supaya berfikir secara matang, mengisi minda kita dengan fakta benar sebaliknya apa yang mereka lakukan ialah ubah persepsi.

"Itulah matlamat mereka. Kalau persepsi negatif, mereka boleh tambah undi masa pilihan raya," katanya.

Beliau memberi contoh pada pilihan raya umum ke-13 apabila pembangkang menabur fitnah dengan mengatakan bahawa BN membawa 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh.

"Malangnya, ramai telah percaya berita songsang itu. Kalau kita nak bawa 40,000 pengundi hantu, kita perlukan 1,000 jumbo kerana satu pesawat jumbo muat 400 penumpang," katanya.

Kira-kira 2,000 orang menghadiri majlis tersebut. Hadir sama isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Najib kemudian menunaikan solat Isyak dan sunat Tarawih di Masjid Raja Muda Musa Semenyih.

Rosmah turut menyertai jemaah di masjid itu.

Selepas itu, Najib beramah mesra dengan anggota-anggota kariah dan jemaah sambil menikmati jamuan moreh.

-- BERNAMA

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.