Jerebu: Kualiti udara 4 bandar utama di Sabah catat IPU sederhana

Kickbola.net
Indeks pencemaran udara (IPU) sejak semalam telah menstatistikkan jumlah pencemaran yang sederhana di beberapa buah daerah di Sabah. Sebelah Tawau juga dilaporkan kes kesihatan terjejas akibat jerebu. Orang awam dinasihatkan memakai topeng di kawasan yang terjejas dan banyakkan menjaga kebersihan badan dan minum air. Share sama rakan dan keluarga supaya sama-sama menjaga kesihatan dan nyawa.
4 bandar utama di Sabah catat IPU sederhana - TAWAU , KOTA KINABALU , KENINGAU , SANDAKAN DAN LABUAN ANTARA TERJEJAS JEREBU

Kualiti udara di 4 bandar utama di Sabah masih sederhana pagi ini walaupun bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) terus menunjukkan peningkatan dalam tempoh 24 jam.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat 9 pagi ini, kualiti udara di Tawau merekodkan bacaan IPU 96 berbanding 50 pada waktu sama, semalam.


Kota Kinabalu dan Sandakan turut mencatat peningkatan bacaan IPU hari ini iaitu masing-masing 67 dan 65 berbanding 56 dan 54 yang direkodkan pada 9 pagi semalam.


Keningau pula mencatat bacaan IPU 62 berbanding 48 yang direkodkan sehari sebelum itu.


Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).


Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. – Bernama, 27 September, 2015.


Penjagaan Penghidap Penyakit Kronik Ketika Keadaan Berjerebu

Selain daripada warga emas dan kanak-kanak, para penghidap penyakit kronik juga adalah golongan berisiko untuk mengalami kesan buruk akibat terdedah kepada udara yang berjerebu. Jerebu mengandungi partikel yang sangat kecil yang boleh membawa bahan toksik yang dapat masuk ke dalam peparu dan diserap ke dalam darah.


Penghidap penyakit kronik terutamanya penghidap asma (lelah), penghidap obstruksi persafasan kronik, penghidap penyakit jantung, diabetes (kencing manis) dan darah tinggi perlu mengelakkan diri daripada keluar dari rumah sehinggalah tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) kurang daripada 100.


Kajian menunjukkan terdapat peningkatan serangan asma, peningkatan jangkitan pernafasan, pengurangan fungsi peparu, peningkatan kejadian susah nafas, batuk-batuk dan iritasi mata semasa keadaan berjerebu2. Ada juga bukti yang mengaitkan peningkatan serangan jantung akibat terdedah dengan udara berjerebu.3 Oleh itu adalah penting bagi penghidap penyakit-penyakit kronik yang berkenaan untuk mengelakkan diri daripada terdedah dengan jerebu bagi mengelakkan keadaan kesihatan mereka menjadi lebih teruk.


Berikut adalah langkah-langkah berjaga-jaga yang boleh diambil oleh penghidap penyakit kronik:

-Elakkan diri daripada keluar dari rumah dan bangunan jika IPU lebih daripada 100

-Jika perlu keluar daripada rumah, sila pakai pelindung pernafasan. Walaubagaimanapun, penggunaan pelindung pernafasan N95 mungkin boleh menyebabkan ketidakselesaan dan susah nafas bagi sesetengah penghidap asma dan penyakit kardiovaskular.

-Minum air kosong yang cukup, iaitu sekurang-kurangnya 2 liter sehari. Keadaan berjerebu yang kering boleh menyebabkan dehidrasi badan. Jangan ambil air manis kerana ini boleh meningkatkan paras gula dalam darah bagi penghidap diabetes.

-Ambil ubat anda seperti yang disarankan oleh doktor.

-Lakukan senaman di dalam rumah.

-Makan makanan yang seimbang. Kurangkan garam, gula dan lemak. Makan mengikut keperluan aktiviti harian anda. Kurangkan makan jika anda kurang beraktiviti.

-Pastikan anda memberitahu keberadaan anda kepada keluarga atau rakan yang boleh dihubungi dan dapat membantu jika anda mengalami masalah kesihatan.
Jangan merokok.

-Dapatkan rawatan segera jika anda mengalami gejala seperti sukar bernafas, sakit dada, sakit kepala, mual dan muntah.


Layari http://moh.gov.my/v/terkini_jerebu untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi jerebu di tempat anda.


Diharap langkah-langkah diatas dapat membantu para pesakit kronik untuk menghadapi keadaan berjerebu ini.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.