Tahniah kepada Tan Wee Kiong, salah satu pemain regu badminton negara di kejohanan Olimpik.
Pemain beregu badminton negara, Tan Wee Kiong menerima ganjaran RM100,000 atas kemenangannya meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016, baru-baru ini.
Ganjaran itu diberikan kerajaan negeri sebanyak RM55,000, manakala baki RM45,000 adalah sumbangan daripada pihak swasta.Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menyampaikan ganjaran itu kepada Wee Kiong pada majlis penyampaian insentif kepada pemain badminton itu di kediaman rasminya di Sri Gaya, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan; Pengerusi Persatuan Badminton Sabah, Janih Bangud dan bapa Wee Kiong, Tan Chen Swee.
Bercakap pada sidang media, Musa berkata, pemberian insentif itu sebagai penghargaan kepada pemain badminton itu kerana mampu menjulang nama negara dan Sabah di peringkat antarabangsa.
"Kejayaan Wee Kiong mampu menjadi contoh terbaik kepada semua atlet lain untuk mencapai kejayaan pada peringkat tertinggi.
Saya berharap atlet lain khususnya dari negeri ini boleh melipatgandakan usaha dan memberikan lebih komitmen dalam latihan.
"Kemenangan ini juga boleh memberi inspirasi kepada masyarakat bagi mencipta kejayaan dalam hidup masing-masing," katanya di sini, hari ini.
WEE Kiong menunjukkan pingat perak yang dimenangi pada Olimpik Rio 2016 kepada Musa pada kunjungan hormat di Sri Gaya, Kota Kinabalu.
Pada temasya Olimpik Rio baru-baru ini, Wee Kiong dan pasangannya, Goh V Shem, meraih pingat perak selepas tewas dalam aksi sengit bertemu pasangan China, Fu Hai Feng-Zhang Nan dalam perlawanan akhir.
Sementara itu, Wee Kiong merakamkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian insentif berkenaan.
"Saya akan menggunakan wang ganjaran ini sebaik mungkin bagi pembangunan badminton di akademi yang diusahakan bersama bapa dan adik di Tawau," katanya.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment