Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) tidak membenarkan sambutan pesta Kaamatan dan pertandingan Unduk Ngadau di Hongkod Koisaan tahun ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan merangkap Timbalan Presiden KDCA, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan, berkata keputusan kerajaan Sabah untuk meneruskan perayaan terbabit melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)."Pihak KDCA membincangkan perkara ini. Jika pertandingan Unduk Ngadau dilakukan, peserta sudah tentu akan menyiapkan dandanan rambut dan solekan.
"Ini satu punca paling berisiko yang mengundang penularan virus COVID-19. Oleh itu, amatlah tidak sesuai untuk mengadakan pertandingan di KDCA.
"Kita membuat keputusan untuk tidak mengadakan perayaan di KDCA dan kita tidak akan berganjak dari keputusan terbabit.
"Sekiranya kerajaan negeri Sabah tetap ingin meneruskan perayaan itu, mereka boleh mencari tempat lain tetapi bukan KDCA. Itu terpulang kepada mereka," katanya.
Beliau berkata sedemikian dalam satu sidang media selepas sesi dialog bersama ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah MOTAC Sabah, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar.
Jeffrey berkata, kerajaan akan mengaktifkan semula industri pelancongan pada hujung tahun ini agar industri pulih.
"Kita akan fokus bermula pelancongan domestik, kemudian pelancongan serantau membabitkan negara negara jiran seperti Brunei, Singapura, Filipina, Indonesia dan sebagainya.
"Sekarang kita akan mencari jalan untuk melakukannya dan antara satu cadangan dengan membenarkan aktiviti pelancongan di zon hijau," katanya.
Beliau berkata, pelancongan aktiviti luar seperti mendaki bukit, menyusuri hutan dan menyelam skuba seharusnya dibenarkan beroperasi semula.
Post a Comment