Tiga maut manakala dua lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 22 Jalan Papar Lama.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, kemalangan membabitkan sebuah kereta Honda Civic dan sebuah lori tiga tan.Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, Honda Civic yang dipandu wanita berusia 30-an bergerak dari arah Kota Kinabalu menuju ke Papar.
Bagaimanapun katanya, sebaik sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya sehingga terbabas masuk ke jalan bertentangan.
“Kenderaan mangsa terus merempuh sebuah lori di lorong bertentangan sehingga mengakibatkan kenderaan mangsa remuk teruk.
“Akibat daripada kejadian itu, pemandu dan dua penumpang berusia 20 hingga 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Batholomew berkata, dalam kejadian itu, pemandu lori lelaki mengalami kecederaan kecil di kaki dan tangan manakala penumpangnya pula tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, semua mayat sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Papar untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 kerana memandu dengan melulu dan merbahaya,” katanya.
Sementara itu, Jurucakap Pusat Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dihantar ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Tiba di tempat kejadian, didapati kemalangan itu membabitkan kereta dan sebuah lori. Tiga mangsa yang tersepit di kereta Honda Civic dikeluarkan pasukan bomba.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan ‘hidraulik cutter’ untuk memotong dan ‘hidraulik jack rescue’ untuk membuka ruangan sempit pada mangsa.
“Dua lagi mangsa yang parah dibawa oleh ambulans ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Kongsikan artikel ini:
klik 👉 https://t.me/SabahUp2Date
Post a Comment