Bunyi Dentuman Kuat Selamatkan Keluarga Mangsa Kebakaran.

Kickbola.net Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sebanyak 15 rumah dan lima kereta musnah terbakar.



Kota Kinabalu: Bunyi kuat letupan dipercayai akibat kereta terbakar mengejutkan penduduk untuk menyelamatkan diri masing-masing selepas kediaman mereka musnah dalam kejadian di Kampung Tanjung Aru Baru, di sini, hari ini.

Salah seorang penghuni, Sani Sedong, 24, berkata, ketika kejadian, dia masih bermain permainan telefon pintar seorang diri di dalam bilik sambil menggunakan alat pendengaran ‘headphone’.

Bagaimanapun katanya, sebaik dikejutkan dengan dentuman kuat, dia terus melihat ke arah luar dari tingkap bilik tidurnya dan mendapati rumah jirannya sudah mula di mamah api.

“Saya tersedar apabila dengar bunyi letupan kuat dari luar rumah dan sebaik melihat di tingkap, api membakar sebahagian besar rumah jiran selain kepulan asap mula memasuki ruang bilik sendiri.


“Saya terus menjerit dan kejutkan ibu, bapa dan adik-adik dan sepupu yang berada di dalam rumah untuk bangun menyelamatkan diri masing-masing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sani berkata, api merebak terlalu pantas sehinggakan tiada sebarang dokumen atau harta benda dapat diselamatkan.

“Kami sekeluarga amat bersedih, sebelum ini kami sekeluarga terpaksa mengharapkan bantuan makanan kerana tidak dapat bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tapi hari ini, kami kehilangan segalanya bukan saja tempat tinggal tetapi juga harta benda termasuk pakaian langsung tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi mangsa kebakaran Juldin Jun, 18, berkata, mereka sekeluarga turut dikejutkan dengan letupan dan jeritan kuat dari luar rumah.

Katanya, sebaik tersedar, dia terus mengejutkan kedua ibu bapanya dan sembilan adik beradik untuk keluar daripada rumah ke tempat selamat.

“Api sudah terlalu dekat ketika itu. Malah lebih membimbangkan dua kereta yang diletakkan hanya beberapa meter dari rumah juga meletup dan terbakar.

“Apa yang terfikir hanya untuk menyelamatkan diri dan ahli keluarga lain. Walaupun sedih, tetapi saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya.

Juldin berkata, mereka belum ada sebarang perancangan namun berharap akan ada pihak yang tampil membantu kesusahan yang dialami mereka sekeluarga.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, sebanyak 15 rumah dan lima kereta musnah terbakar.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa dilaporkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post